Kemenangan selesa JDT ke atas Sarawak United Rabu lalu disambut baik oleh ketua jurulatih kelab tersebut, Mora Benjamin.
Ketika sidang media selepas perlawanan tersebut, Mora memberitahu pemberita bahawa beliau lebih pentingkan kemenangan tersebut dan menganggap enam jaringan tersebut sebagai satu kelebihan.
Beliau juga memuji pemain beliau yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi pada perlawanan tersebut dan terus mencari gol biarpun telahpun mendahului.
“Yang penting adalah kemenangan. Menang adalah yang paling utama. Selain itu bermain bola sepak yang bagus, bekerja sebagai satu pasukan juga keutamaan, dan jika kami berjaya menjaringkan enam gol, ianyalah adalah satu kelebihan. Saya rasa semua orang telah mengambil penting perlawanan ini. Tidak ada yang memperlahankan tempo dan kami terus cuba menjaringkan lebih banyak gol.
Bagi saya, ini menunjukkan pemain mempunyai komitmen yang tinggi dan ini akan memastikan JDT akan pergi jauh.” kata Mora selepas perlawanan itu.
Mora juga berpendapat kekalahan teruk Sarawak United itu tidak harus menjadi ukuran kepada kemampuan sebenar pasukan Kenyalang Emas itu.
Ujar Mora, Sarawak United telah bermain dengan baik pada awal perlawanan, namun pasukannya berjaya menambah keyakinan dan bermain lebih baik lagi selepas itu.
“Pada awalnya mereka (Sarawak United) teratur, tetapi kami berjaya mencari ruang di bahagian tengah, dan berjaya mendekati kotak penalti mereka dan jaringan awal kami berjaya menaikkan keyakinan kami.
“Saya rasa Sarawak United lebih baik dari ini. Keputusan ini tidak menunjukkan Sarawak United tidak berkualiti. Mereka bermula dengan baik. Mereka mempunyai dua penyerang import dan beberapa bekas pemain JDT, tetapi pada akhirnya, kami ternyata lebih baik dan pemain kami melalukan kerja yang baik.” jelas Mora lagi.
Sarawak United tewas 6 – o dalam perlawanan kedua Liga Super pasukan tersebut minggu ini, meletakkan pasukan tersebut di kedudukan terbawah Liga Super dari dua perlawanan.