Selepas memberi penjelasan terperinci berhubung harga tiket bermusim Sarawak, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dalam satu email kepada SarawakCrocs.com menjelaskan lebih banyak berkenaan tiket yang dibeli secara ‘online’.
Menurut email yang dihantar oleh Setiausaha FAS En Abdullah Julaihi, mereka sememangnya sedar masalah dan cadangan peminat namun tidak dapat melaksanakan cadangan tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Sebagai contoh, FAS sedar kutipan tiket di kaunter oleh peminat yang yang membeli tiket secara ‘online’ adalah ‘tidak memudahkan’ tetapi mereka terpaksa melakukan demikian kerana kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengawal pengeluaran dan penjualan tiket perlawanan Liga Malaysia. Oleh itu, FAS hanya boleh membuat tempahan untuk peminat sahaja, dan tidak boleh mengeluarkan tiket sebenar.
Tambah Abdullah, “Dengan kemudahan online, peminat boleh menempah dan memastikan mereka sudah mendapat tiket sebelum ke stadium atau tempat mengambil tiket. Pihak kami juga akan memastikan barisan berlainan akan dibuat untuk pembeli ‘online’ bagi mempercepatkan pengambilan tiket mereka.”
Abdullah turut mengulas kenyataan ramai yang mengatakan tiket bermusim adalah ‘lebih mahal’. Menurutnya, jumlah perlawanan yang dijangka untuk Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA adalah lebih kurang 20 perlawanan, dan ini membawa kepada jumlah harga yang sama (Tiket teres terbuka: RM15x20=RM300; Tiket teres berbumbung: RM25x20=RM500) jika peminat membeli tiket tersebut secara biasa.
Menurut Abdullah lagi, kenaikan tinggi harga tiket Zon Teres Berbumbung dari RM15 ke RM25 adalah disebabkan ianya adalah kawasan yang amat terhad, yang mana hanya 1,200 penonton boleh mendudukinya. Ini adalah bersamaan 5% daripada muatan Stadium Negeri. Tambah Abdullah, diakibatkan permintaan kawasan tersebut yang juga terlalu tinggi, FAS akhirnya memutuskan untuk menaikan harga zon tersebut sejajar dengan konsep perniagaan ‘permintaan dan pembekalan’.
Walaubagaimanapun, kami di SarawakCrocs.com gagal mendapatkan maklumat berkenaan sebab wujudnya perbezaan harga tiket Teres Berbumbung yang kini lebih mahal jika dibandingkan dengan semasa ianya diumumkan (RM20) pada awal musim 2014.
Sungguhpun demikian, adalah diharap penerangan dari pihak FAS sedikit sebanyak membantu peminat memahami situasi harga tiket baru Sarawak, walaupun kami di SarawakCrocs.com merasakan bahawa harga tiket yang baru ini akan sedikit sebanyak mengganggu jumlah penonton ke Stadium Negeri pada musim ini.