FAS: “Peminat tidak dipaksa beli tiket online”

Pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dalam satu maklumbalas kepada kami menyatakan bahawa mereka tidak memaksa peminat membeli tiket secara ‘online’.

Menurut email yang SarawakCrocs.com terima dari Setiausaha Umum FAS, En Abdullah Julaihi, isu harga tiket ‘online’ lebih mahal tidak harus timbul kerana pembangunan “sistem pembelian tiket tersebut sememangnya memerlukan kos yang tinggi, dan ini termasuklah kos penyelenggaraan sistem secara berkala”.

Tambah Abdullah, pelaburan FAS untuk sistem tersebut tidak terjamin pulangannya kerana peminat mempunyai pilihan untuk membeli tiket mereka secara ‘online’ atau dengan cara biasa, yakni pergi ke kaunter jualan tiket terpilih.

Menurutnya Abdullah lagi, “Apa yang penting ialah kemudahan dan pilihan yang disediakan untuk penyokong kita (Sarawak) yang enggan membuang masa beratur untuk membeli tiket bagi perlawanan yang hangat, dan ini termasuklah peminat yang dari luar Bahagian Kuching yang ingin memastikan mereka sudah mempunyai tiket untuk ke stadium sebelum datang ke Kuching.”

Abdullah turut melihat sistem pembelian tiket secara online ini sebagai satu cara untuk mengurangkan kejadian ‘ulat tiket’ kerana peminat yang ada tiket sahaja akan ke stadium, dan ini sekaligus mengakibatkan ulat tiket menghadapi kesukaran menjual tiket mereka yang ternyata lebih mahal.

FAS dalam pada itu menasihatkan penonton yang tidak sanggup membayar kos yang lebih tinggi untuk tiket mereka agar memperolehi tiket perlawanan melalui saluran biasa (Lea Sports Centre & Kaunter Jualan Tiket Stadium Negeri) kerana “sistem pembelian tiket secara ‘online’ diwujudkan untuk memberi alternatif dan kemudahan, dan FAS tidak memaksa sesiapa untuk membeli tiket mereka secara ‘online’.”

Tambah Abdullah, “Maka dengan itu, tambahan harga yang dikenakan adalah tepat dan berpatutan. Bermakna, siapa yang ingin mengguna kemudahan ini harus membayar sedikit fee. Pendek kata, ‘user-pay concept’.”

PROMO: Dapatkan baju Sarawak Crocs (RM30), Mafla Sarawak (RM35), Mafla Melaka (RM35) dan Majalah Sarawak FA (RM15) di www.eheartcharms.com sekarang! 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top