Challenge Cup 2018: Antara keinginan dan kemampuan Sarawak FA

Semalam telah berlangsung acara undian bagi kejuaraan sulung Challenge Cup 2018 di Damansara dengan pasukan Sarawak FA diundi dalam Kumpulan A bersama UKM FC, Negeri Sembilan dan Terengganu FC II.

Penglibatan Sarawak dalam kejohanan ini sekaligus menidakkan khabar angin bahawa mereka mungkin akan menarik diri daripada kejuaraan ini ekoran kekurangan dana. Maka, penyokong masih berpeluang untuk ke stadium untuk menikmati aksi Sarawak nanti, lebih-lebih lagi dengan perlawanan kini boleh dilangsungkan di sebelah malam.

Challenge Cup ialah kejuaraan julung kali diperkenalkan tahun ini, dan sudah tentu Sarawak berkeinginan untuk menjuarainya. Dengan laluan yang seimbang dalam Kumpulan A, cabaran sebenar pasukan mungkin muncul dengan lawan daripada Kumpulan B yang membariskan UiTM FC, ATM FA, Penang FA dan Johor DT II. Sudah tentu, inilah satu-satunya peluang untuk Sarawak menebus kekecewaan dan usaha mengembalikan keyakinan semua pihak di negeri ini termasuk penyokong, pengurusan, penaja dan kerajaan negeri.

Dalam ghairah membicarakan keinginan ini, kita juga akan duduk untuk memikirkan kemampuan pasukan. Kita bukan membicarakan tentang kemampuan di atas padang, kerana semangat pemain dan barisan kejurulatihan berada di tahap yang tinggi. Persoalan kemampuan ini lebih tertumpu kepada kemampuan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk kekal stabil sehingga tamat tahun ini.

Dengan peruntukan mencecah RM14.5 juta bagi menguruskan pasukan-pasukan di bawah FAS termasuk pengurusan persatuan dan pembangunan bola sepak negeri, sudah tentu pertandingan tambahan seperti ini akan membebankan mereka, lebih-lebih lagi dengan tarikh sepak mula yang berbaki beberapa hari sahaja lagi. Cabaran seperti tempahan penerbangan, logistik, penginapan dan lain-lain amat kritikal dalam minggu ini untuk diselesaikan sebelum pasukan memulakan kempen mereka.

Kemampuan ini seakan diragukan, tetapi jika ditangani secara cekap, FAS mampu menyediakan platform yang baik untuk skuad kendalian Ian Gillan ini. Ini termasuk usaha mencari penaja berpotensi untuk membantu pasukan dalam kejuaraan ini, sekaligus membuka kepada peluang penajaan jangka panjang bagi musim akan datang. Kita tidak mahu semasa kejuaraan berlangsung, terdapat khabar kurang enak mengenai kemampuan pasukan menghantui saingan atas padang dan meresahkan penyokong.

FAS perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam, dan menjadikan Challenge Cup ini sebagai kayu pengukur cabaran kepada mereka sendiri sama ada langkah mengekalkan pasukan Sarawak FA pada masa akan datang ialah satu pelaburan yang berbaloi.

P/S: Kami mengekalkan penggunaan nama “Challenge Cup” dalam semua komunikasi kami selaras dengan arahan daripada penganjur, Malaysia Football League (MFL). – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top