Ketua jurulatih baharu Kuching City FC, Irfan Bakti meletakkan sasaran membawa pasukan tersebut ke tirai Liga Super.

Beliau yang baharu sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih kelab berumur lima tahun itu tidak mahu hanya berpuas hati sebagai lima pasukan terbaik di Liga Premier.

“Misi utama saya adalah untuk membawa pasukan ini ke Liga Super, dan bukan menamatkan musim sebagai hanya kelompok lima terbaik di Liga Premier.” kata Irfan dalam laporan akhbar Borneo Post.

Irfan juga menjelaskan beliau sememangnya bangga dengan pelantikan dirinya sebagai ketua jurulatih Kuching City.

Beliau turut melahirkan rasa kagum ke atas corak permainan Kuching City yang beliau lihat ketika pasukan tersebut menewaskan Sarawak United September lalu.

“Selepas menang ke atas Sarawak United, Kuching City begitu aggresif dengan memenangi tiga lagi perlawanan selepas itu” kata Irfan lagi.

“Saya suka cara mereka bermain dan saya berasa bangga ditawarkan tugas sebagai ketua jurulatih Kuching City FC” jelasnya.

Irfan telah diumumkan oleh Kuching City sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut selepas Akira Higashiyama menolak tawaran penyambungang kontrak, dan memilih untuk berhijrah ke Kelantan United FC.