Keinginan peminat Kuching City FC melihat jurulatih muda, Akira Higashiyama, terus mengemudi Kuching City musim hadapan tidak kesampaian selepas jurulatih berbangsa Jepun itu menolak tawaran kontrak Kuching City.

Dalam kenyataan rasmi kelab tersebut, Pengerusi Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman, menjelaskan bahawa pihaknya sememangnya mahu mengekalkan Akira sebagai ketua jurulatih.

Sungguhpun demikian, kedua – dua Akira dan Yuki Tanigawa telah menolak tawaran Kuching City, sekaligus memaksa Kuching City untuk mencari pengganti.

“Perancangan awal kami adalah untuk mengekalkan Akira sebagai Ketua Jurulatih dan Yuki Tanigawa untuk melanjutkan kontrak tetapi mereka telah menolak tawaran kami dan kami telah merancang untuk mencari pengganti beliau.” jelas Fazzrudin dalam kenyataan rasmi Kuching City.
“Beberapa nama telah dibincangkan dan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengarah dan akhirnya kita telah membuat keputusan.” jelasnya lagi.
Kuching City dalam pada itu telah mengumumkan pelantikan pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2011, Irfan Bakti sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan tersebut.