Imej Irfan Bakti tidak tercalar biarpun Kuching City gagal tewaskan Skuad FAM – MSN

Kegagalan pasukan Kuching City menewaskan pasukan Skuad FAM – MSN yang banyak dibarisi oleh pemain muda dilihat tidak mencalarkan imej jurulatih berkaliber, Irfan Bakti.

Penolong ketua jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin, menegaskan bahawa tidak timbul persoalan berkenaan imej Irfan biarpun pasukan bimbingan beliau gagal menewaskan pasukan muda tersebut.

“Pada saya, calar tak calar dalam bidang bola sepak ini dia tak timbul. Siapa yang main baik hari ini dialah yang layak mendapat hasilnya. Hari ini pasukan kita tidak bermain dengan baik. Pemain tidak terjemahkan arahan yang diberikan, jadi pada saya, kita telah belajar dari ini.” kata Sulaiman selepas perlawanan.

“Kita tidak boleh memandang rendah pasukan lawan. Walaupun semua orang berjaya memungut mata penuh dari pasukan muda ini, ianya tidak semestinya bermaksud kita akan dapat perkara sama. Kita kena berhati – hati apabila menentang pasukan seperti ini.” jelasnya lagi.

Sulaiman juga menerangkan bahawa pasukan muda seperti Skuad FAM – MSN adalah pasukan ‘pengacau’ dalam Liga Premier, dan pada mereka telah ‘mengacau’ Kuching City pada hari Rabu lalu.

“MSN boleh jadi pasukan pengacau. Memang wujud pasukan seperti ini. Tiba – tiba mereka boleh jadi pengacau.

“Jadi hari ini mereka membuktikan mereka boleh kacau mana – mana pasukan.

“Tidak timbul kita memandang rendah atau terlalu yakin.

“Irfan pun sudah ada memberitahu bahawa kita tidak harus mengambil mudah.

“Apabila anda melakukan kesilapan apabila anda mendahului, anda kena menerima kesannya.” ujar Sulaiman lagi.

Kuching City telah dilihat mampu menewaskan Skuad FAM – MSN pada perlawanan Rabu lalu, namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas pasukan bimbingan Yusry Che Lahh itu berjaya menyamakan kedudukan sebelum wisel penamat.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top