Malaysia tewas pada perlawanan ketiga kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh malam tadi.

Selepas acap kali menguji gawang Vietnam melalui set-piece berbahaya, kuisan cantik Nguyen Quang Hai pada minit ke-40 sudah cukup untuk memberi pasukan tuan rumah tiga mata berharga di dalam perlawanan tersebut.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Malaysia memulakan perlawanan dengan aksi agak meyakinkan dengan beberapa gerakan mula ditunjukkan oleh pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe seawal minit ke-10.

Sungguhpun demikian, disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan Vietnam menyaksikan penyerang Norshahrul Idlan bin Talaha sukar melepaskan diri dari kawalan pemain Vietnam, manakala Mohamadou Sumareh juga dikawal ketat dua pemain Vietnam.

Di bahagian tengah, Malaysia seolah kehilangan arah apabila hantaran-hantaran pendek mereka sering dipintas oleh pemain Vietnam, sekaligus menyaksikan kebanyakan serangan berakhir dengan kekecewaan.

Keadaan ini memaksa Malaysia bergantung kepada permainan lebih taktikal yang banyak bergantung kepada set-piece.

Ketangkasan Malaysia di dalam mengabil set-piece mula kelihatan apabila pasukan Harimau Malaya itu hampir menjaringkan beberapa gol awal perlawanan melalui beberapa situasi berbahaya yang hadir daripada sepakan penjuru dan lontaran jauh.

Antara peluang terbaik Malaysia di dalam perlawanan tersebut adalah pada minit ke-24 yang mana menyaksikan lontaran jauh La’Vere Corbin-Ong’s hampir menerjah jaring.

Sungguhpun demikian, ketumpulan jentera serangan pasukan kebangsaan Malaysia gagal menemui sentuhan akhir di dalam kotak penalti, sekaligus terus megikat kedua-dua pasukan tanpa jaringan.

Strategi pemain Vietnam yang kerap melakukan kekasaran ke atas pemain Malaysia juga dilihat berjaya menyekat sebarang kemaraan dari pasukan Harimau Malaya.

Vietnam yang banyak menggunakan serangan pintas bagi membuat serangan ke atas Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-40 selepas kealpaan barisan pertahanan Malaysia gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti, sekaligus menyaksikan Nguen Quang Hai mengis bola dengan cantik ke dalam gawang gol.

Pada babak kedua, Malaysia terus gagal mencari rentak perlawanan dan membenarkan Vietnam mengambil penguasaan di dalam padang.

Vietnam hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-71 melalui rembatan Nguyen Anh Duc, namun Aidil Zafuan berjaya menghadang sepakan tersebut.

Malaysia terus cuba bangkit mencari jaringan penyamaan, namun keputusan 0-1 memihak pasukan tuan rumah kekal sehinga wisel penamat.