Sejak kejayaan manis merangkul kejuaraan Liga Premier pada 2013, nasib Sarawak FA dilihat terumbang ambing sehingga ke hari ini.
Semasa Datu Sudarsono Osman enggan mempertahankan jawatannya pada September 2016, pihak kami sempat berbicara dengan beliau berkenaan punca beliau engan mempertahankan jawatan Presiden yang dipegangnya, dan jawapan beliau mudah.
Beliau berkata “Saya sudah membawa masuk pemain dan jurulatih terbaik di Malaysia, dan kita masih tidak dapat mencabar di Liga Super. Mungkin nafas baharu akan membawa perubahan lebih baik”.
Pada ketika itu, Datu Sudarsono telah membawa masuk K Rajagobal, dan pemain import seperti Ndumba Makache ke dalam pasukan Sarawak FA.
Setelah beberapa bulan tanpa presiden, Posa Majais dilantik menjadi Presiden baharu FAS pada Januari 2017.
Pada tahun sama, Sarawak telah direlegasi ke Liga Premier, dan pada tahun lepas mengakhiri musim di kedudukan ke-8 liga. Pada musim ini, Sarawak di tangga tercorot Liga Premier dan harus bermain menentang naib johan Liga M3 untuk menentukan status pada musim hadapan.
Dalam pada itu, sebagai laman yang menjadi pemerhati dan juga media yang cenderung kepada bola sepak Sarawak, di sini adalah 5 cadangan kami bagaimana Sarawak FA boleh menaikkan semula taraf bola sepak Sarawak.
1 – MENUMPUKAN KEPADA KETULUSAN KEWANGAN
Tidak dapat dinafikan bahawa kewangan Sarawak sering menjadi perbincangan utama di kalangan peminat dan juga pihak FAS. Sejak 2017, isu kewangan FAS sering didakwa oleh pihak pengurusan FAS sebagai ‘bermasalah’ dengan dana dikhabarkan tidak mencukupi.
Posa sendiri mengakui dia menggunakan wang sendiri untuk membayar gaji pemain. Oleh itu, adalah penting untuk pihak FAS menyelaraskan dan membuat audit, serta terus memastikan kewangan FAS di dalam keadaan sempurna.
Selepas itu dilakukan, FAS juga perlu memastikan aliran kewangan adalah telus sehinggakan FAS tidak takut untuk mengeluarkan penyata kewangan kepada umum jika diminta atau diperlukan.
Dalam perkembangan sama, FAS juga harus mula kreatif dalam mencari dana selain daripada mengharapkan geran. Mengharapkan geran ini ibarat mengharapkan derma daripada orang, dan FAS sebagai persatuan tidak sepatutnya berbuat demikian.
2 – MEMPERKEMASKAN IMEJ UMUM MELALUI PR BERKUALITI
Mungkin ramai tidak setuju dengan point kedua kami ini, namun bak kata ‘ultras’, “tanpa peminat, bolasepak itu tiada maknanya.” Peminat adalah tunjang kepada bola sepak, dan FAS perlu mencari jalan untuk mendekati peminat tanpa terlalu mengikut petunjuk peminat.
Peminat pada amnya mendapatkan banyak berita daripada pihak media dan juga media sosial, dan FAS harus mula terbuka dengan media baharu dan lama sambil bijak membuka langkah yang akan membawa kepada imej positif di pihak mereka.
Kami suka mengambil contoh bagaimana Malaysia Football League (MFL) telah mendampingi pengamal media dari pelbagai sudut dengan cara positif dan ini termasuklah SarawakCrocs. Walaupun berbuat demikian, pihak MFL tidak pernah menyekat pengeluaran berita negatif berkaitan MFL dari pengamal media, tetapi sebaliknya membantu pengamal media mendapatkan cerita yang sahih.
Kerjasama sebeginilah yang disukai oleh pengamal media dan ianya sudah pasti akan membawa kepada lebih publisiti baik kepada pihak FAS.
3 – MEMPERBAIKI SISTEM LIGA SARAWAK
Sistem liga bola sepak Sarawak kini bagi kami adalah bercelaru. Liga di peringkat bahagian bukan sahaja pendek, tetapi juga dijalankan di dalam keadaan terburu-buru.
Lebih menyedihkan, tiada kesinambungan di dalam struktur liga bola sepak Sarawak kini. Semua liga dibuat untuk tempoh setahun (atau sebulan dua) sahaja, dan pada tahun hadapan, liga baharu akan dibuat dengan semua pasukan perlu didaftarkan semula.
Ini menyebabkan kebanyakan pasukan bola sepak lebih bersikap ‘semadi nadai’ atau mereka cuma fokus kepada satu tahun sahaja. Tiada persiapan dibuat secara jangka panjang.
FAS dalam pada itu sebagai penjaga utama bola sepak Sarawak harus mula mengambil langkah proaktif menyusun liga di semua peringkat agar hala tuju pasukan bertanding jelas dari peringkat bawahan sehingga peringkat negeri (Sarawak) di mana wujudnya satu liga elit yang dipanggil Liga Sarawak. Liga Sarawak menampilkan pasukan terbaik sahaja tanpa mengira lokaliti dan menjadi Liga M4 di dalam sistem Liga Malaysia. Semua liga, baik di peringkat atas dan bawah harus bergerak dalam tempoh yang lama dan bukan ‘start bulan 10, habis bulan 11’.
Hanya dengan cara ini, pemilik pasukan akan lebih serius ke arah membentuk pasukan jangka panjang, dan secara tidak langsung memperbaiki latihan akar umbi bola sepak.
Suka kami cadangkan FAS melihat bagaimana FAM dan MFL mengatur Liga Malaysia dalam lima tahun ini sebagai contoh terbaik.
4 – MENUMPUKAN KEPADA PEMBANGUNAN KELAB PROFESIONAL
Kita tahu bahawa MFL kini sedang meminta semua pasukan bola sepak profesional memiliki lesen bola sepak apabila menyertai Liga Malaysia. FAS boleh menjadi tunjang kepada gerakan ini di Sarawak dengan memberi latihan dan sokongan kepada pasukan-pasukan di setiap bahagian yang serius mahu menjadi kelab profesional.
Di sini, FAS boleh memberikan geran permulaan (starting grant) untuk kelab tersebut menjalankan keperluan asas membina sebuah kelab bola sepak profesional, dan seterusnya memberikan latihan dan bantuan agar kelab itu boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Ini secara langsung akan melahirkan lebih banyak pemain bola sepak di Sarawak, dan membangunkan bola sepak akar umbi Sarawak.
Bayangkan, setiap bahagian mempunyai dua atau tiga kelab bola sepak sendiri sehinggakan hadirnya ‘rivalry’ seperti Miri United menentang Miri City di dalam Liga Miri? Menarik?
5 – MELEPASKAN BEBAN PASUKAN SARAWAK FA
Ini adalah perkara yang kami rasakan harus dibuat oleh FAS, khususnya dengan peningkatan pasukan seperti Kuching FA.
Bubarkan sahaja pasukan Sarawak FA, dan fokus kepada mengatur selia pembangunan bola sepak di Sarawak.
Kerana FAS sibuk menjaga pasukan Sarawak FA-lah dana FAS yang bernilai jutaan tidak mencukupi.
Pada hemah kami, FAS hanya perlu memiliki sebuah pasukan bola sepak sekiranya Liga Malaysia berubah menjadi liga antara negeri Malaysia. Jika ianya seperti keadaan kini, lebih baik FAS menumpukan kepada membangunkan kelab-kelab bola sepak profesional di Sarawak.
Tak tahulah pendapat anda, tapi kami suka mengumpamakan pasukan Sarawak sebagai sebuah pasukan yang mewakili seluruh Sarawak.
Oleh itu, alangkah moleknya jika pasukan yang mewakili Sarawak ini diatur seperti Malaysia mengatur pasukan kebangsaan, Harimau Malaya, di mana pemainnya hanya dipanggil untuk latihan pusat jika ada pertandingan antara negeri sahaja (seperti SUKMA)?
Pada masa lain, pemain-pemain ini akan kembali ke kelab-kelab profesional yang mereka wakili… Ini lah impian atau pendapat kami.