Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bercadang untuk menganjurkan Liga Sarawak pada tahun hadapan.
Menurut laporan Utusan Borneo, liga yang bakal dimulakan pada tahun 2021 akan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.
Presiden FAS, Posa Majais, dilaporkan berkata bahawa kejohanan tersebut dirancang akan berlangsung selama tiga bulan.
Ianya dijangka bermula pada Januari 2021 dan berakhir pada Mac 2021.
Laporan Utusan Borneo juga menyebut bahawa Posa mahu Liga Sarawak kelak disertai oleh kelab handalan dari seluruh Sarawak dengan pasukan-pasukan bertanding akan dibahagikan kepada tiga zon utama.
Miri akan mengetuai zon Utara sebagai tuan rumah, Sibu akan mengetuai zon tengah sebagai tuan rumah, manakala Kuching aan bertindak sebagai tuan rumah zon selatan.
Dalam perkembangan sama, Posa berkata FAS menyasarkan setiap bahagian menyenaraikan lima kelab dengan setiap zon menghimpunkan 20 kelab.
Ini bermakna sebanyak 60 kelab dijangka akan bermain di dalam Liga Sarawak kelak.
Setiap pasukan juga dibenarkan mengambil pemain import tempatan mengikut kuota yang ditetapkan. Menurut Posa, setiap pasukan hanya boleh mengambil tiga pemain import tempatan.
Posa memberitahu Utusan Borneo bahawa tiada had ataupun kuota untuk pengambilan bekas pemain bola sepak Sarawak.
Menurut Posa lagi, cadangan melaksanakan Liga Sarawak akan dibentangkan kepada barisan Exco FAS pada mesyuarat jawatankuasa terdekat dan Posa percaya bahawa cadangan tersebut akan diterima dan dipersetujui oleh ahli gabungan FAS.