FAM pantau situasi di Sarawak

Situasi di dalam Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kini dipantau oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan khabar bahawa Presiden FAS, POsa Majais, mahu menarik diri dari Liga Malaysia pada musim hadapan.

Harian Metro melaporkan bahawa Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam sebagai berkata bahawa pihaknya hanya mengetahui hasrat FAS untuk menarik diri daripada laporan media Sarawak dan pihaknya tidak boleh mengulas banyak memandangkan tiada surat rasmi dari pihak FAS.

“Saya pun ada terbaca (hasrat FAS tarik diri) melalui berita yang dibuat oleh media Sarawak mengenai hal itu.” kata Stuart kepada Harian Metro.

“Tapi kami di FAM tak terima pun apa-apa surat atau makluman secara rasmi daripada mereka. Jadi saya tak boleh ulas lebih lanjut, cuma setakat ini kita tak terima apa-apa yang rasmi.”jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Stuart juga mengesahkan FAM sedang memantau situasi di Sarawak bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang perkara tersebut.

“FAM akan memantau perkara ini dan cuba dapatkan gambaran sebenar situasi di sana,” katanya lagi.

Arena bola sepak Malaysia tergempar susulan khabar bahawa FAS akan menarik diri dari Liga Malaysia musim hadapan.

Situasi diburukkan lagi dengan desakan agar Posa meletak jawatan oleh sekumpulan mantan pemain dan pegawai Sarawak FA sehari selepas itu.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top