FAM bakal guna pangkalan data baharu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal memperkenalkan sistem pendaftaran pemain dan pegawai pasukan-pasukan Liga Malaysia serta ahli-ahli gabungan menerusi Program FAM MyPAS, Disember ini.

Program itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 7 November lalu menerusi projek badan induk itu; ‘FIFA Connect’.

Ianya dijangka akan membantu dalam integrasi maklumat-maklumat pemain serta pegawai secara menyeluruh dan sistematik untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.

Sistem MyPas ini akan membolehkan kesemua pemain dan pegawai yang berdaftar diberikan pengenalan diri (ID) tersendiri, yang mana akan menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta pembangunan bola sepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut, FAM akan menganjurkan sesi bengkel latihan bersama para Pegawai Pentadbir dari setiap pasukan Liga Malaysia pada 28 dan 29 November ini di Wisma FAM, Kelana Jaya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top