Pasukan Liga Premier yang dimiliki Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini mempunyai hutang lebih setengah juta Ringgit.

Menurut laporan Arena Metro, pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors itu telah diarahkan oleh FIFA untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus sejumlah AS$145,944.60 atau RM629,620.28 sen dalam tempoh 30 hari.

Arena Metro mendakwa FIFA mengarahkan pasukan KAFA berbuat demikian pada 23 April lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula, dalam surat kepada KAFA bertarikh 28 April, menyatakan bahawa KAFA turut perlu membayar faedah lima peratus ke atas tunggakan yang dihutanginya.

Ini sekaligus sudah pasti menghimpit KAFA yang didakwa turut mempunyai hutang-hutang lain yang termasuk gaji pemain.

Keadaan Liga Malaysia yang kini dihimpit kawalan berkaitan Pandemik Covid-19 juga sudah pasti akan terus menghimpit KAFA untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan keadaan.

Jika KAFA gagal melunaskan hutang De Jesus itu kelak, ada kemungkinan pasukan Kelantan FA yang mewakili KAFA di dalam Liga Malaysia akan menerima tempias.

Malah, KAFA sendiri mungkin tidak akan terlepas dari tindakan disiplin oleh pihak FIFA yang mungkin akan menyaksikan persatuan tersebut digantung daripada menyertai apa-apa aktiviti berkaitan bola sepak yang dianjurkan oleh FIFA fan FAM.