Penjaga gol yang baru bersama Sarawak, Fadzley Rahim enggan mengulas banyak berkenaan khabar angin yang menyatakan beliau sedang dipancing oleh pasukan lain di dalam Liga Malaysia bagi musim 2015.
Menurut penjaga gol kelahiran Selangor ketika dihubungi pihak SarawakCrocs.com kelmarin, beliau masih lagi bersama skuad Sarawak FA. Tambah beliau, “selagi kontrak saya masih ada bersama Sarawak FA, selagi itulah saya akan masih lagi bermain untuk Sarawak FA”.
Fadzley turut memohon agar peminat “tidak harus terlalu percaya akan berita perpindahan beliau” sambil memaklumkan beliau masih lagi giat berlatih bersama skuad Bujang Senang sehingga pertengahan bulan Oktober.
Sebelum ini, wujud desas desus bahawa Fadzley sedang diintai beberapa pasukan di Semenanjung Malaysia selepas beliau menunjukkan persembahan cemerlang bersama skuad Sarawak.
Beliau yang tidak sampai setahun ditandatangani oleh skuad Bujang Senang juga berjaya mencabar penjaga gol utama Sarawak Sani Anuar dan telah diturunkan sebagai penjaga gol utama dalam beberapa perlawanan penting musim ini.