Pada minggu lepas, arena bola sepak Sarawak telah banyak berkisar berkenaan kelab bola sepak Kuching City.
Kali ini, giliran Sarawak United FC pula mendapat perhatian dengan B Santianathan dikaitkan dengan kelab tersebut.
Santianathan yang sebelum ini menafikan beliau akan menggantikan Ketua Jurulatih Sarawak United, E Elavarasan, hari ini dikhabarkan bakal dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab yang sebelum ini dikenali dengan nama Selangor United FC itu.
Jika benar, Santianathan dijangka akan banyak mempengaruhi keputusan kelab tersebut dan menambahkan lagi ‘nama besar’ kepada kelab yang kini dimiliki Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu.
Buat masa ini, CEO Sarawak United tidak diketahui, namun pengarahnya adalah Posa Majais, yang juga merupakan presiden FAS.
Khabar yang hadir di media sosial itu belum disahkan, namun watak Santianathan dalam perancangan Sarawak United dikatakan amat penting kali ini.
Ini ekoran khabar bahawa Sarawak United musim hadapan bercita – cita besar bagi memastikan mereka akan memberi saingan sengit di dalam Liga Malaysia 2021.
Samada betul atau tidak berita pelantikan Santianathan sebagai CEO baharu Sarawak United, sama – sama kita nantikan pengumumannya.