Home Malaysian football Nidzam Jamil untuk pasukan original Sarawak?

Nidzam Jamil untuk pasukan original Sarawak?

Dengan semua mata terarah kepada perancangan Sarawak United pada musim 2021, hadir desas desus bahawa Nidzam Jamil, mantan jurulatih Felda United akan dilantik sebagai ketua jurulath baharu pasukan Sarawak United II.

Untuk rekod, Sarawak United II, yang dahulunya dikenali dengan nama Sarawak FA, merupakan pasukan Liga M3 yang telah mewakili Sarawak dalam Liga Malaysia sejak zaman 70-an.

Kedudukan pasukan tersebut selaku pasukan utama di bawah naungan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berubah pada musim 2019 selepas FAS mengambil keputusan membeli dan menjenama semula pasukan Selangor United FC kepada Sarawak United FC, ekoran jatuhnya Sarawak FA ke Liga amatur, Liga M3.

Sarawak United telah diangkat sebagai pasukan utama di bawah FAS, dan Sarawak FA telah bermain di Liga M3 sebagai pasukan amatur.

Sarawak FA mengekalkan namanya pada musim 2020, namun ianya akan dikenali sebagai Sarawak United II pada musim 2021.

Dengan pembatalan Liga M3 musim 2020 akibat Covid-19, kedudukan ketua jurulatih Sarawak United II, Sam Timbre, tidak dapat dipastikan.

Sungguhpun demikian, dengan khabar menyatakan FAS berperancangan besar pada tahun 2021, pelantikan Nidzam ke kerusi panas tersebut mula menjadi bualan di media sosial.

Hal tersebut tidak dinafikan oleh jurulatih B Sathianathan yang turut dikaitkan dengan tugas di Sarawak United.

Menurut laporan Astro Arena, Sathianathan mengakui bahawa hadir perancangan untuk membawa Nidzam ke Sarawak United, namun beliau menafikan bahawa Nidzam akan mengambil alih tugas E Elavarasan, yang juga merupakan ketua jurulatih Sarawak United.

Dalam pada itu, artikel Astro Arena tersebut turut menyatakan bahawa Sathianathan mengakui bahawa Nidzam akan melatih Sarawak United, tetapi bukan sebagai jurulatih pasukan utama.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa hadir kemungkinan Nidzam akan mengambil alih pasukan bimbingan Sam Timbre, dan melatih pasukan Sarawak United II, yang juga merupakan pasukan asal Sarawak.

“Dia seorang jurulatih yang cukup istimewa buat saya kerana masih muda dan mempunyai pendekatan kejurulatihan yang baik.” kata Sathianathan kepada Astro Arena.

“Nidzam tidak akan ambil tempat jurulatih skuad utama, Elavarasan.” jelasnya lagi.

Samada Nidzam ke Sarawak United II akan terjawab dalam masa terdekat, namun yang pasti, kedudukan Elavarasan sebagai ketua jurulatih Sarawak United nampaknya selamat.

RECOMENDED LINKS: