Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini dilihat semakin terdesak untuk menyelamatkan pasukan daripada dihukum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas persatuan tersebut diarah membayar tunggakkan gaji bekan pemain importnya, Casio Francisco De Jesus.

Adalah difahamkan bahawa KAFA perlu membayar sejumlah AS$145,944.60 atau RM629,620.28 sen kepada Casio, dengan pembayaran mesti dilunaskan dalam masa 30 hari selepas 23 April 2020.

Pada 9 Mei lalu, KAFA telah mengeluarkan satu kenyataan media mengumumkan pembukaan satu tabung khas untuk membantu persatuan tersebut mencari dana untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Kenyataan itu menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid dipetik sebagai berkata “Kita (KAFA) tidak mempunyai banyak masa, tambahan pula Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat Covid-19, pasti menyulitkan persatuan untuk mendapatkan sumber kewangan  mencukupi untuk membayar tuntutan tersebut.

“Oleh itu, KAFA membuat keputusan memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong setia The Red Warriors (TRW) untuk menderma atas nama Persatuan Bolasepak Kelantan secara dalam talian (online) di nombor akaun 553010630676 (Maybank).

“Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa dan penderma juga boleh menghantar salinan resit sebagai bukti melalui WhatsApp di talian 013 9283293,”jelasnya.

Tindakan KAFA memohon derma untuk melangsaikan gaji Casio tidak mendapat sokongan kebanyakan peminatnya, dengan ada di antara peminat melabel KAFA sebagai ‘pengemis’.

SUngguhpun demikian, Ahmad bertegas bahawa tabung bantuan tersebut adalah kerana KAFA kini di peringkat terdesak.

“Bagi saya, kami bukan pengemis tetapi dalam peringkat terdesak. Jadi, perlu minta bantuan dan akhirnya mencapai sepakat sebelum melakukan perancangan lain.

“Kami lakukannya agar tahu penyokong setia dan sayangkan pasukan,” katanya kepada Astro Arena.