Beberapa pertembungan dalam aksi pusingan kelayakan Piala FA 2020 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini dijangka sengit membabitkan sesama pasukan dari Liga M3 manakala pasukan M4 turut berhajat lakar kejutan untuk cuba mengikuti jejak langkah Jerantut FA pada musim lalu yang mara ke pusingan ketiga.
Antara perlawanan yang dijangka sengit ialah pertemuan antara Melaka United FC dan Ikram Muda FC (Sabtu), Klasiko FC berdepan KL Rovers(Ahad) dan KT Rovers yang akan layani kunjungan anak-anak buah Azman Adnan, Ultimate FC di Kuala Berang (Sabtu).
Manakala juara Piala Terengganu Amateur League (TAL), Kerteh FC bakal mengharungi halangan sukar apabila diundi berdepan Northern Lions Football Club(NLFC)-MAHSA di Stadium Mak Chili, Kemaman pada 16 Februari.
Sementara itu, Armed Forces Football Club (AFFC) akan berkunjung ke Padang Astaka, Kuala Berang, menemui satu lagi pasukan dari TAL, Delima Warriors FC yang merupakan naib juara Liga Premier TAL, pada Ahad ini.
Ketua jurulatih AFFC, Kevin Cooper, mengingatkan pemain-pemainnya agar sama sekali jangan memandang rendah kemampuan lawan walaupun di atas kertas, kelebihan tampak memihak kepada pasukannya.
Cooper yang merupakan bekas pemain beberapa pasukan ternama satu ketika dahulu seperti Wolverhampton Wanderers, Cardiff City dan Norwich City pada awal era tahun 2000, mengakui telah melihat pelbagai kejutan telah berlaku membabitkan saingan Piala FA seperti mana ketika beliau beraksi di England.
“Saya berdepan banyak pengalaman seperti ini ketika bergelar pemain di England, ada masanya pasukan pilihan gagal peragakan prestasi yang baik dan ini buka ruang kepada pasukan yang mereka temui mendapatkan keputusan positif.
“Jadi, saya telah ingatkan pemain agar tidak sama sekali menganggap pertemuan ini sebagai sesuatu yang mudah dan mereka kena sentiasa peraga prestasi terbaik di atas padang.
“Selaku jurulatih, waktu rehat yang panjang iaitu bermula Oktober lalu dan aksi liga yang akan bersambung pada Mac ini juga satu cabaran tersendiri kepada saya dalam mengekalkan motivasi mereka serta tahap kecergasan.
“Tidak sukar untuk saya menganalisa kekuatan lawan berdasarkan teknologi media sosial pada waktu kini dan sememangnya kami cuba serba sedikit mengenali lawan sebelum bertemu di atas padang , ” katanya.
Sepertimana musim lalu, AFFC mengekalkan 100 peratus pemain dari pegawai dan staf tentera serta tidak menggunakan kudrat import bagi harungi musim 2020.
Perlawanan lain yang akan berlangsung pada Sabtu melibatkan pasukan dari Klang Valley League (KVL), Red Spade United FC lwn Sarawak, Real Chukai FC lwn Melawati FC, Pandan United FC lwn Langkawi City FC, KB Isma Shah Alam lwn Protap FC, Andersonian FC lwn SA United FC dan Markless ST lwn Spirito FC.
Bagi aksi yang akan berlangsung pada Ahad, pasukan yang diperkuat ramai pemain berpengalaman, Harini KS bakal menerima kunjungan wakil dari Perlis, Kuala Perlis FC di Stadium Utama Kompleks Sukan Kuala Selangor ,Southern FC lwn Manjung City FC, Gamestop FC lwn Semarak FC dan SSFC lwn PIB FC.