Pasukan Sabah FA yang baru sahaja dinobatkan juara Liga Premier 2019 sudah bersedia untuk melangkah ke Liga Super tahun hadapan.
Menurut laporan Stadium Astro, dokumentasi untuk mendapatkan lesen kelab bagi Sabah FA yang perlu dihantar bagi membolehkan pasukan tersebut bermain di Liga Super musim hadapan sudah hampir siap dan kini berada pada kadar 90 peratus.
Pemangku presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony dipetik sebagai berkata “Hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus lagi yang kurang dan kami yakin segala dokumentasi yang diperlukan akan dilengkapkan dalam masa terdekat ini.
“Proses bagi melengkapkan permohonan itu juga berjalan lancar dan kami akan penuhinya bagi membolehkan Sabah beraksi dalam Liga Super musim depan,”.
Penganjur Liga Malaysia, Malaysia Football League mewajibkan semua pasukan di Liga Super mempunyai lesen kelab.
Sebelum ini, beberapa pasukan telah didenda oleh pihak MFL kerana gagal menyiapkan dokumen bagi mendapatkan lesen kelab bolasepak, dengan isu musim ini lebih tertumpu kepada kegagalan beberapa pasukan untuk mematuhi tarikh akhir mendaftarkan pemain.