ViP: Suka duka skuad Sarawak

Pukul 10.10 minit malam 24 Jun lalu di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching, bintang tengah Sarawak, Joseph Kallang Tie rebah sambil menangis dan pada pukul 10.41 minit malam 26 Oktober lalu di tempat yang sama, Joseph juga rebah sambil menangis. Tetapi tangisan Joseph memberi gambaran dua cerita yang amat berbeza iaitu cerita mengenai kejuaraan dan cerita mengenai kegagalan! Malam 24 Jun, barisan pemain Sarawak meraikan detik kejuaraan Liga Perdana 2013 setelah membelasah Kuala Lumpur 4-0.

Pesta Sarawak pada malam tersebut bukan sahaja meraikan kejuaraan, tetapi juga merayakan kejayaan melayakkan diri ke Liga Super 2014. Malam 26 Oktober pula menyaksikan hasrat Sarawak untuk melangkah ke final Piala Malaysia tidak kesampaian setelah hanya mampu seri 1-1 dengan Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua.

Pada malam tersebut Sarawak perlu menang 2-0 untuk melayakkan diri ke pentas akhir, tetapi berdasarkan peluang yang dicipta, Sarawak bukan sahaja mampu menang dengan kelebihan dua gol, tetapi dengan kelebihan empat hingga lima gol. Malah enam gol pun boleh! Setelah tewas 3-1 di Kuantan dalam perlawanan separuh akhir pertama, anak-anak buah Robert Alberts membalasnya dengan asakan bertali arus dalam aksi di Kuching.

Tetapi malangnya hanya satu gol yang berjaya dijelmakan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-31, sambil lima hingga enam lagi peluang keemasan terlepas begitu sahaja. Sedangkan Pahang hanya memiliki satu peluang, dan satu-satunya peluang itu disempurnakan. Jurulatih Sarawak, Robert Alberts membuat kesimpulan faktor kualiti menjadi pemisah antara Sarawak dan Pahang. “Berdasarkan peluang yang kami miliki, sepatutnya kami boleh ‘membunuh’ terus perjuangan Pahang seawal babak pertama lagi, tetapi ia tidak begitu. Ia adalah berkenaan tahap kualiti pemain,” jelas Alberts sambil merujuk kepada enam peluang keemasan gagal disempurnakan. Sementara jurulatih Pahang, Dollah Salleh pula menjelaskan: “Sarawak bermain cemerlang dan mencipta begitu banyak peluang dan kami bernasib baik.

“Dalam bola sepak bermain macam mana baik sekalipun, jika gagal menyempurnakan peluang, maka anda tidak akan menang… itulah hakikatnya,” jelas Dollah. Bekas jurulatih Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamad yang juga pengasas slogan Ngap Sayot melahirkan rasa yang cukup kecewa. “Sayang sekali kita gagal memanfaatkan peluang yang amat baik ini untuk melangkah ke final. Berdasarkan corak permainan dan peluang, Sarawak sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menang besar.”

Pengulas bola sepak terkenal, Zainal Abidin Rawop daripada Astro Arena pula menyatakan: “Perlawanan tersebut menjadi milik Sarawak sepenuhnya. Mereka sepatutnya menyempurnakan peluang yang begitu baik.”

Bagi 22,000 penyokong di Stadium Negeri, kegagalan tersebut sebagai satu kerugian besar, namun sebahagian daripada mereka akur setelah barisan pemain Sarawak telah menunjukkan usaha dan kesungguhan yang begitu tinggi, cuma nasib tidak menyebelahi mereka. Mengambil kira sasaran awal, kegagalan Sarawak ke final Piala Malaysia tidak perlu diratapi kerana Sarawak telah pun mencapai sasaran iaitu layak ke Liga Super 2014 dan menjuarai Liga Perdana 2013 adalah satu bonus.

Malah kejayaan layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 juga dianggap sebagai satu ‘bonus besar’. Tetapi dalam konteks sejarah bola sepak Sarawak, peluang untuk ke final bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana dalam sejarah penyertaan, Sarawak hanya mampu sekali mara ke final iaitu pada 1999.

Ketika itu, Sarawak kalah 2-1 kepada Brunei. Jadi berapa lama lagi kita harus menunggu selepas 1999? Jadi peluang terbaik Sabtu lalu yang gagal disempurnakan merupakan satu kerugian. Ia merupakan kegagalan keempat Sarawak setelah turut gagal ke final pada 1988, 1995 dan 1996. Seperti yang dijelaskan oleh Awang Mahyan, peluang seumpama ini tidak akan datang selalu. Tunggu tiket 5.00 pagi! Musim 2013 juga menyaksikan terciptanya sejarah baharu dalam aspek sokongan padu terhadap skuad Sarawak.

Bayangkan terdapat sekumpulan peminat fanatik yang sudah pun berada di pekarangan Stadium Negeri seawal pulul 5.00 pagi pada 24 Oktober dan 25 Oktober semata-mata untuk mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua. Kaunter tiket hanya dibuka pada pukul 10.00 pagi. Hampir 20,000 peminat menyerbu kaunter tiket pada hari pertama jualan tiket dan sekitar 15,000 pada hari kedua. Mereka berbaris sejauh 600 meter dalam keadaan cuaca panas dan sekitar 15 orang yang pengsan. Sejumlah 20,000 tiket yang dijual sepanjang dua hari itu habis dijual dalam tempoh satu jam setengah sahaja. Tidak semua yang pulang dengan tiket sebaliknya sekitar lebih 15,000 pulang hampa.

“Saya pernah membeli tiket ketika era Ngap Sayot 1988, ketika era Alan Vest 1995, 1996 dan era Jalil Ramli pada 1999… tetapi saya tidak pernah menyaksikan sambutan sehebat 2013,” kata peminat fanatik skuad Sarawak, Ahmad Bhaiki, 51. “Bagi saya ia adalah satu sejarah baharu dalam bola sepak Sarawak. Tahun ini semangat Ngap Sayot benar-benar ‘menyala’,” jelas Ahmad. ‘Gelombang merah’ Para penyokong Sarawak dari segenap penjuru Bumi Kenyalang, dari Lawas hingga ke Lundu mula membanjiri pekarangan Stadium Negeri seawal pukul 11.00 pagi dan tempat duduk teres terbuka mula dibanjiri penonton sekitar pukul 3.30 petang dan ‘gelombang merah’ sudah pun terbentuk sekitar pukul 5.00 petang, satu suasana yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini. Stadium Negeri terus bergema ketika petang menjelma dan gemaannya semakin nyaring sebaik wisel permulaan dibunyikan. Malah ‘gelombang merah’ terus mengiringi pasukan Sarawak sepanjang saingan.

“Tidak pernah saya saksikan sejumlah besar penonton membanjiri stadium ketika masih siang hari… selalunya stadium hanya akan penuh pada sebelah malam,” kata wartawan Sukan, Faizal Bujang yang telah hampir 15 tahun membuat liputan perlawanan di stadium. Sepanjang musim ini, ribuan penyokong sentiasa menjadi pemain ke-12 buat pasukan Sarawak. Malah Stadium Negeri juga menjadi gelanggang keramat buat Sarawak apabila tidak terkalah sepanjang perlawanan Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Letupan mercun hiasi kemuncak saingan Sebaik perlawanan tamat, letupan mercun dan balingan botol air mineral serta pelbagai objek lain memenuhi ruang tepi stadium, tanda rasa kecewa dan hampa. Bagaimanapun, masih ada sebahagian besar penonton yang bersikap rasional dan profesional, tetap meraikan pasukan Sarawak dengan tepukan gemuruh, tanda sokongan padu tidak berbelah bahagi. Bagi seorang lagi peminat setia skuad Sarawak, Louis Wou Yeou, skuad Sarawak musim ini telah pun menunjukkan prestasi yang cukup memuaskan.

“Saya percaya kegagalan ke final Piala Malaysia 2013 tidak akan mematahkan semangat para pemain untuk bangkit semula musim depan,” jelasnya. “Saya berharap skongan padu para peminat akan terus mengiringi pasukan Sarawak sepanjang musim depan,” katanya. Sejarah dan masa depan Hakikatnya bola sepak Sarawak menghadapi jatuh bangun. Setelah ditimpa kekalahan demi kekalahan pada awal era 70- an dan awal 80-an, skuad Sarawak akhirnya menemui tonik pada 1988… detik kebangkitan pasukan Sarawak yang berslogankan Ngap Sayot, ciptaan Awang Mahyan Awang Mohamad.

Mereka berjaya ke separuh akhir ketika itu, namun kalah di tangan Kedah dengan agregat 2-1. Itupun Sarawak kalah 1-0 di gelanggang berkecuali (Singapura) selepas perlawanan di Stadium Negeri dihentikan angkara kemasukan ribuan penonton ke dalam stadium. Mahyan juga mengemudi Sarawak ke suku akhir pada 1989 ketika berlakunya insiden pemain Sarawak bertempur dengan pengawal keselamatan di Stadium Merdeka sehingga memaksa Sarawak keluar daripada Persatuan Bola Sepak malaysia ketika itu.

Namun ia hanyalah sementara apabila Sarawak kembali menyertai FAM. Sarawak mengalami kemerosotan teruk pada 1990, namun kembali bangkit pada 1991 hingga 1998 di bawah kendalian jurulatih import dari Australia, Alan Vest. Vest berjaya mengemudi Sarawak menjuarai Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998. Vest juga mengemudi Sarawak ke final Piala FA 1996 dan ke separuh akhir Piala Malsyia 1995 dan 1996.

Selepas era Vest, muncul pula era Jalil Ramli yang berjaya memacu Sarawak ke pentas final Piala Malaysia 1999 tetapi kalah 2-1 kepada Brunei. Jalil juga mengemudi Sarawak ke final Piala FA 2001 tetapi kalah 1-0 kepada Selangor. Selepas itu Sarawak kembali menurun sehinggalah kemasukan Robert Alberts yang berasal dari Belanda.

Setelah membawa Sarawak naik ke Liga Super pada 2012, Alberts kemudiannya memberikan kejuaraan pertama, menjuarai Liga Perdana 2013, dan seterusnya naik semula ke Liga Super 2014. Kejayaan ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 merupakan petanda akan kebangkitan yang lebih lagi selepas ini. Bagi warga Sarawak, bola sepak memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan perpaduan pelbagai kaum tanpa mengira bangsa, agama, kecil, tua dan muda.

Artikel asal oleh Awang Shahferi (utusansarawakonline.com)

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top