Seperti diketahui, Kuching City FC (KCFC) ialah pasukan pertama Liga Malaysia yang melancarkan koleksi lengkap jersi musim 2021 pada 11 Februari lalu.
Seperti tahun sebelumnya, koleksi jersi kelab yang diberi jolokan “The Cats” ini dikeluarkan oleh Starsport yang menjadi pembekal teknikal kelab sejak musim 2017.
Starsport ialah jenama tempatan yang dimiliki rakan komersial KCFC iaitu Lea Group of Companies.
Sebagai jersiwan dan penyokong The Cats, sudah tentu pelancaran jersi ini amat ditunggu-tunggu.
Saya berjaya memperolehi jersi utama (home) dan tandang (away) beberapa hari selepas hari pelancaran.
Definisi tiga warna Kuching City
Untuk musim 2021, KCFC buat pertama kalinya menampilkan tiga persalinan jersi pemain dan dua varian jersi penjaga gol.
Saya berpendapat bahawa pemilihan warna jersi pemain ini dipengaruhi faktor bandar raya Kuching, iaitu:
i) Putih: Melambangkan keharmonian Kuching sebagai bandar raya berbudaya dan antara yang terbersih di Malaysia.
ii) Hijau: Melambangkan Kuching Utara yang sinonim dengan warna hijau. Sebelum ini, hijau ialah warna utama untuk KCFC.
iii) Biru: Melambangkan Kuching Selatan yang sinonim dengan warna biru-putih.
Rekaan minimalis
Sekali pandang, koleksi jersi The Cats ini agak ringkas dengan corak yang mudah, tidak sarat dengan penaja, dan kemasan yang semakin baik berbanding musim-musim sebelumnya.
Saya berpendapat bahawa koleksi musim ini adalah yang terbaik yang dihasilkan oleh Starsport.
Jika digantung pada penyangkut mahu pun patung, kita boleh nampak keseimbangan fizikal dan rekaan jersi-jersi ini.
Jumlah warna pada kolar dan cuffs lengan tidak perlu besar dengan susunan logo penaja pada jersi yang sesuai dengan saiz dan kedudukannya, menjadikan koleksi ini kemas dan menarik.
Jersi utama Kuching City FC
Untuk jersi utama, jalur tiga warna (tricolore dalam Bahasa Itali) yang diketengahkan secara menaik pada bahagian dada ialah tarikan utama.
Dengan warna putih sebagai warna asas, jalur ini meningkatkan keindahan jersi utama ini dengan simbolik progresif kemajuan.
Cetakan secara sublimation menjadikan warnanya kekal dalam fabrik. Ini secara langsung tidak menjadikan jersi ini keras jika cetakan jalur dibuat dengan material lekat polyurethane.
Set jersi utama ini adalah serba putih dari atas hingga ke bawah.
Di kedua-dua belah cuffs lengan jersi utama, elemen warna KCFC sama ada putih, hijau dan merah melengkapkan faktor elegan koleksi jersi musim ini.
Jersi tandang Kuching City FC
Untuk jersi tandang, ianya amat mudah untuk kita tatapi dengan hanya menampilkan warna asas, iaitu hijau.
Ianya amat kontras dengan jersi utama yang sesuai dipakai apabila berhadapan dengan lawan yang memakai warna lebih terang.
Set jersi tandang ini adalah serba hijau, dari atas hingga ke bawah.
Ini boleh memberi kelebihan kepada pasukan di tengah padang yang dilihat lawan bagaikan ‘bersatu’ dengan padang, serta kepada pemain, warna hijau mampu memberi ketenangan dari segi psikologi agar mereka boleh fokus dengan permainan.
Di kedua-dua belah cuffs lengan jersi tandang, elemen warna KCFC sama ada putih, hijau dan merah melengkapkan faktor elegan koleksi jersi musim ini.
Kesamaan rekaan jersi Kuching City 2021
Jersi KCFC pada musim ini menampilkan beberapa persamaan kecil.
Bentuk kolar semua jersi adalah ringkas, dengan kolar V digunakan untuk jersi utama dan kolar bulat untuk jersi tandang, ketiga dan penjaga gol.
Selain itu, label saiz dan kualiti jersi masih lagi kekal berada di bahagian dalam belakang kolar yang dicetak melalui teknik heat press.
Pada bahagian dalam, label penjagaan dan kod QR unik dijahit kemas dengan fabrik nilon lembut yang tidak mencucuk abdomen pemakai.
“Kepala kucing”
Menariknya mulai musim ini, logo baharu KCFC berbentuk kepala kucing disematkan pada jersi ini.
Logo kelab ini adalah unik berbanding kelab-kelab lain di Malaysia yang majoritinya berbentuk bulat.
Logo KFCF direka tanpa banyak elemen, dengan huruf ‘K’ di antara warna hijau, putih dan merah dan nama kelab.
Kemasan logo pada jersi ini wajar diberi pujian. Starsport mula memperbaiki kualiti material logo berbanding musim-musim sebelumnya.
Untuk memperlihatkan elemen eksklusif tetapi ringan, logo ini dicetak di atas material chevron grooves yang dipotong dengan laser membentuk rupa logo dan dijahit di atas jersi. Nampak mahal rupanya.
Fabrik lebih ringan, mesra pemakai
Starsport telah meningkatkan kualiti fabrik jacquard polyester yang lebih memberikan pengudaraan dan corak timbul untuk efek istimewa pada jersi pada semua bahagian. Kedua-dua jersi ini memiliki ruang pengudaraan di bahagian bawah lengan bagi jersi utama, dan tepi bagi jersi tandang.
Bagi mengekalkan kos mampu milik seperti kebiasaan, Starsport tidak menyepadukan dua jenis fabrik berbeza untuk jersi versi pemain seperti yang saya miliki ini.
Dan sesuai dengan falsafah kelab mesra rakyat, tiada perbezaan versi pemain dan peminat dihasilkan selain penambahan nama, nombor dan lencana liga.
Saya uji pakai sendiri jersi ini ketika cuaca panas dan sejuk, semasa berlari dan berjalan di taman dan kompleks membeli-belah. Boleh dikatakan pembelian ini memang berbaloi.
Boleh ditingkatkan lagi
Walau bagaimanapun, sebagai jersiwan sudah tentu perincian dan pemeriksaan teknikal menjadi keutamaan dalam menentukan kepuasan pemilikan jersi.
Secara amnya, saya kurang berpuas hati dengan material logo penaja utama, Serba Dinamik pada jersi. Selain material yang nampak murah, ianya nipis sehingga menampakkan kesan resapan warna fabrik (bleeding) pada logo tersebut.
Harapnya pihak Starsport boleh menggunakan jenis kain yang lebih baik untuk masa akan datang.
Sungguhpun kualiti fabrik semakin baik tetapi pemakai harus berwaspada kerana kemungkinan jersi untuk carik agak tinggi. Tak boleh bayangkan jika ianya tersangkut pada pintu atau paku.
Kesimpulan ulasan jersi Kuching City FC 2021
Secara peribadi, saya memberikan penarafan 9/10 untuk kedua-dua jersi ini.
Faktor peningkatan, rekaan, kemasan dan harga yang amat kompetitif menjadikan jersi The Cats musim ini menjadi rebutan walaupun wisel perlawanan belum lagi ditiupkan.
Rata-rata golongan jersiwan tanah air memberi reaksi positif terhadap koleksi jersi KCFC untuk musim ini.
Menurut pemerhatian saya, ramai jersiwan bukan rakyat Sarawak membeli jersi KCFC ini yang disifatkan sebagai ‘lain daripada yang lain’.
Sebagai penyokong, saya harap agar Kuching City FC dapat memberikan saingan lebih jitu dalam misi mereka ke Liga Super 2022. Selamat maju jaya!
Penulis ialah seorang anak jati Kuching yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor. Beliau memiliki medsos khas untuk koleksi jersi peribadinya di Instagram @maglie_rocco.
Jersi Kuching City ini boleh dibeli di www.TheKedey.com.