Hajat Sarawak United untuk beroleh kemenangan malam ini tidak kesampaian apabila pasukan bimbingan E Elavarasan itu terpaksa berkongsi mata dengan UKM FC.

Kedua – dua pasukan beraksi di hadapan stadium kosong, dan gagal menjaringkan sebarang gol walaupun masa tambahan sebanyak empat minit telah diberikan oleh pengadil Amirrudin Lantji.

Sarawak United yang turun dengan tiga pemain import yakni Patrick Ronaldinho, Milad Zanidpour dan Demerson Bruno, dilaporkan kerap melakukan serangan, namun pertahanan UKM teguh memastikan perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan pada malam ini.

Dengan keputusan seri itu, kedudukan Sarawak United dan UKM FC dijangka tidak banyak berubah dengan perlawanan antara pasukan Perak 2 dan Kuching City FC esok dilihat tidak mampu membawa sebarang perubahan signifikan kepada kedua – dua pasukan.

Sarawak United dalam pada itu dilihat akan terus kekal di kedudukan ke-9 Liga Premier, manakala pasukan UKM FC terus di kedudukan ke-10.

Untuk rekod, pasukan di tangga tercorot, dan kedua tercorot di Liga Premier musim ini tidak akan diturunkan ke Liga FAM.