Pasukan Felda United dan UKM FC tidak akan beraksi di Liga Malaysia pada musim hadapan selepas kedua – dua pasukan tersbeut gagal dalam rayuannya untuk terus kekal di liga berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya sudah meneliti rayuan kedua – dua pasukan, tetapi telah mengambil keputusan muktamad untuk menolaknya.

Stuart juga menegaskan bahawa kedua dua pasukan tidak akan dibenarkan beraksi di dalam Liga Malaysia pada musim hadapan biarpun berjaya mencari penaja baharu.

“Kita sudah meneliti rayuan yang dikemukakan tetapi rayuan kedua – dua pasukan itu ditolak. Keputusan ini muktamad dan mereka tidak akan beraksi dalam Liga Malaysia 2021” kata Stuart dalam satu laporan Suara Sarawak.

Keputusan FAM itu hadir selepas kedua – dua pasukan gagal menyelesaikan proses penswastaan kelab bola sepak bersyarat.

Ekoran keputusan tersebut, Felda United dan UKM tidak akan lagi boleh beraksi di Liga Super atau Liga Premier pada musim hadapan.

Kedua – dua pasukan walaubagaimanapun boleh terus bermain bola sepak di dalam sistem Liga Malaysia dengan mengambil bahagian di dalam liga amatur seperti Liga M3.

Untuk rekod, kedua – dua UKM dan Felda United merupakan pasukan yang sepatutnya bermain di Liga Premier pada musim 2021.

Ketiadaan kedua – dua pasukan akan menyaksikan Liga Premier akan kini hanya dihuni oleh 10 pasukan pada musim hadapan.