Pemain – pemain Kuching City FC akan mengakhiri kuarantin wajib mereka hari ini.

Ini selepas pasukan tersebut diarahkan kuarantin sebagai langkah berjaga – jaga selepas mereka pulang dari Semenanjung Malaysia selepas mengakhiri kempen Piala Malaysia dua minggu lalu.

Pasukan bimbingan Akira Higashiyama itu kemudiannya akan diberi rehat dua minggu oleh pihak pengurusan Kuching, sebelum mereka memulakan sesi persediaan untuk musim 2021 pada awal Disember kelak.

Perkara itu disahkan oleh Penolong Jurulatih Kuching, Shahrizan Sahari dalam laporan Suara Sarawak.

Menurut Sharizan, tarikh bagi sesi latihan akan dimaklumkan kelak, dan pemain telah diminta untuk mengekalkan tahap kecergasan sepanjang mereka diberi cuti.

“Proses kuarantin akan tamat hari ini (Ahad) dan pemain akan diberi cuti rehat selama dua minggu sebelum menyambung semula latihan” kata Sharizan kepada Suara Satawak.

“Apa pun, pihak pengurusan akan memberitahu tarikh untuk pemain kembali ke padang.

“Ada kerja rumah untuk pemain sepanjang tempoh cuti dua minggu itu kelak, ia bertujuan memastikan tahap kecergasan mereka kekal seperti sedia kala” kata Sharizan lagi.

Kuching merupakan antara kelab bola sepak paling berjaya di Sarawak selepas berjaya memenangi Liga Bolasepak Rakyat, dan berjaya melayakkan diri ke Liga FAM, Liga Premier dan Piala Malaysia dalam masa lima tahun penubuhannya.