Situasi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) semakin parah apabila terdedah baru-baru ini bahawa persatuan itu hanya memiliki lebih kurang RM800,000 sahaja di dalam akaun mereka.
Menurut KAFA, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membolehkan pasukan The Red Warriors (TRW) meneruskan perjuangan di Liga Super pada musim hadapan.
KAFA walaubagaimanapun memaklumkan bahawa TRW sudah didaftarkan untuk musim 2017, namun pendaftaran tersebut hanya dari segi dokumentasi, dan belum lagi melibatkan hal-hal lain seperti kewangan.
Dalam pada itu, KAFA akan mengadakan perjumpaan dengan Kerajaan Kelantan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkenaan masalah kewangan yang dihadapi, sambil meminta pihak berminat untuk tampil membantu menaja pasukan TRW.
Keadaan kewangan KAFA sudah pun meruncing sebelum ini, namun ianya bertambah perit selepas bekas Presidennya, Tan Sri Annura Musa meletak jawatan dan enggan kembali memegang jawatan tersebut.
Dalam pada itu, hanya Sinar Harian dilaporkan telah mengesahkan diri sebagai penaja TRW untuk musim 2017.