Menteri Pertahanan Malaysia Tuan Haji Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, telah dilantik sebagai penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mulai kelmarin.

Persetujuan pelantikan tersebut dicapai selepas Presiden KAFA, Dato Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengadakan kunjungan hormat ke atas Mat Sabu di Wisma Kementerian Pertahanan, di Kuala Lumpur.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Menurut kenyataan KAFA di laman Facebooknya, Mat Sabu telah bersetuju untuk menjadi penasihat kepada KAFA tanpa mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lepas.

Wan Abdul juga menjelaskan bahawa tugas Mat Sabu adalah lebih kepada memberi sokongan kepada usaha menambah baik bola sepak Kelantan.

Kenyataan KAFA memetik Wan Abdul sebagai berkata “Bagi pihak KAFA, kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan di atas kesudian beliau menerima pelantikan sebagai penasihat persatuan ini.

“Beliau akan bertindak selaku penasihat persatuan tetapi tidak mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lalu dan berfungsi sebagai sokongan ke atas usaha menambah baik bola sepak Kelantan”.