Umum tahu bahawa Sarawak FA telah wujud sejak 1974, namun sejak itu, hanya ada tiga nama di kalangan puluhan pemain import Sarawak, yang masih meniti di bibir ramai peminat bolasepak Sarawak.
Mereka adalah tidak lain, tidak bukan, John Hunter, Jeff Currans dan David Evans.

Dibawa masuk oleh Ketua Jurulatih, dan Pengurus pasukan pada ketika itu, Alan Vest, ketiga-tiga pemain import tersebut bukan sahaja menjadi idola ramai anak Sarawak, tetapi telah membantu mengangkat pasukan Bujang Senang menjadi antara pasukan yang digeruni.
John Hunter terutama sekali, diberi nama jolokan ‘kerbau putih’ oleh media tempatan kerana kerakusan dan bahaya beliau apabila berada di dalam kotak penalti. Berikut adalah serba sedikit mengenai tiga pemain import paling terkenal Sarawak itu, hasil nukilan Gary Hardin.

JOHN HUNTER
Penyerang ini tiba di Kuching pada tahun 1991 dengan reputasi hebat setelah menjaringkan 31 gol melalui 17 penampilan bersama Western Australia. Dikenali dengan nama jolokan John Kerbau di kalangan peminat bola sepak tempatan kerana corak permainan beliau yang lasak, susuk tubuh yang tegap dan sukar dijatuhkan lawan.
Berjersi No.10, John Hunter membentuk gandingan yang mantap bersama pemain tempatan kelahiran Melaka, Shamsurin Abd Rahman. Sebelum menyertai Sarawak, John Hunter sering dicanang sebagai pemain yang lebih baik daripada Alistair Edward oleh tabloid tempatan. Alistair Edward turut ditandatangani oleh Sarawak pada tahun 1995 sebagai pengganti Hunter.

JEFF CURRANS
Produk akademi Celtic, Scotland dan bermain di posisi sweeper. Beliau ditandatangani oleh Alan Vest bersama-sama dengan John Hunter. Pernah beraksi bersama St.Mirren di Liga Scotland sebelum berhijrah ke Hong Kong. Bersama kelab Athena di dalam Liga Australia, beliau memenangi kejuaraan Divisyen Satu pada tahun 1988 dan tiga kejuaraan Piala D’Orsogna (1987, 1998, 1989).
Di Sarawak, kegigihan dan kerajinan di padang pantas menawan hati peminat bola sepak tempatan. Jelas ia adalah faktor dan kualiti yang dihargai oleh Alan Vest, rakan sepasukan dan penyokong bola sepak tempatan sehingga beliau dilabel sebagai lagenda bola sepak Sarawak.
Pemain kelahiran Glasgow, Scotland ini bermain bersama Sarawak sehingga tahun 1994 sebelum menyertai Scottish Police Service dan bersara daripada bola sepak.

DAVID EVANS
Siapa sangka beliau adalah pemain import terlama yang pernah beraksi di Liga Malaysia dengan lebih 100 penampilan untuk Sarawak. Anehnya, dibandingkan dengan ramai pemain import hebat yang pernah bermain di Liga Malaysia, tidak banyak penulisan berkenaan David Evans. Seperti juga John Hunter dan Jeff Curran, Evans ditandatangani oleh pengurus Alan Vest pada 1991 dari kelab Divisyen Tiga Liga Inggeris, Walsall.
Pada ketinggian 6 kaki 6 inci, David Evans bermain di posisi pertahanan dan merupakan nadi pertahanan Sarawak yang utuh pada ketika itu. Kontrak beliau bersama Sarawak terpaksa ditamatkan apabila FAM mengambil tindakan drastik untuk menidakkan kehadiran pemain import di dalam Liga Malaysia.

INFO TAMBAHAN:
Sempena perlawanan pertama Liga Super Malaysia di Stadium Negeri pada musim ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan menganjurkan satu perlawanan pertunjukan membabitkan bekas pemain pasukan Sarawak termasuk John Hunter, David Evan, Doug Ithier, Allistair Edward, Alan Vest, Jalil Ramli, Shamsurin Abdul Rahman, Ramos dan Ramles Sari, Mohd Dahlan Matussin, Mohd Ali Sapiee, Roslan Ismail dan ramai lagi.
Perjumpaan lagenda bersama peminat bola sepak tempatan turun akan diadakan pada 4hb Februari di Dataran Stadium sebelum perlawanan menentang Pahang. Ayuh ramai-ramai kita menghadirkan diri. Sambil berkarnival, kita sokong pasukan kesayangan kita Sarawak.
Post written by Gary Hardin Lugard, edited by SarawakCrocs

Dapatkan Jersi Rasmi SarawakCrocs 2017 sekarang melalui pre-order sahaja pada harga RM70 atau hubungi +60111271409 melalui whatsapp.




