Home Malaysian football Sarawak perlukan aura di tempat lawan

Sarawak perlukan aura di tempat lawan

Pasukan Sarawak FA bakal bertandang ke Stadium Shah Alam untuk perlawanan terakhir 100Plus Liga Premier Malaysia 2018 menentang pasukan di tempat kedua, Felcra FC.

Bermula awal musim, prestasi tidak menentu skuad Bujang Senang menggusarkan ramai penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan. Ditambah pula bermain pada waktu petang, sedikit demi sedikit jumlah penyokong kurang menggamatkan suasana dan sokongan ke Stadium Negeri. Sehinggakan pada perlawanan menentang juara liga, Felda United FC di Kuching, jumlah rasmi penonton bertiket hanya seramai 61 orang sahaja.

Ini merupakan satu angka yang menyedihkan. Tambah pedih, kekalahan Sarawak kepada The Fighters dalam perlawanan itu mengesahkan kejuaraan liga buat mereka.

Tetapi inilah realiti yang harus diberi perhatian buat semua pihak yang mendokong pasukan Sarawak, sama ada secara langsung atau tidak langsung, jauh mahupun dekat.

Untuk perlawanan terakhir ini, cabaran Bujang Senang yang mudik di lubuk seberang bukannya mudah. Kemenangan ialah misi nyata buat anak buah kendalian Ian Gillan.

Dengan tempoh hampir seminggu berlatih selepas menang di lubuk sendiri, Bujang Senang hanya perlukan aura tambahan untuk membantu memperkasakan libasannya.

Aura yang dimaksudkan di sini ialah sokongan padu daripada penyokong setianya yang berkelana di Lembah Klang.

Walaupun Sarawak kekal dalam liga dengan nota ‘cukup makan’ sahaja, seharusnya kumpulan penyokong ini menjadikan aksi esok untuk memperlihatkan pertalian erat dengan pasukan kesayangan mereka. Sarawak amat memerlukan aura ini kerana kemenangan penutup amat bermakna buat semua.

Kehebatan aura sokongan anak jati Sarawak dan penyokong bola sepak tanah air yang mengikuti Sarawak telah dibuktikan pada zaman kegemilangan beberapa tahun dahulu. Sedangkan pada musim lepas di Stadium Selayang, masih ramai yang hadir bersatu menyalurkan aura bagi memastikan pasukan bermain bagaikan di laman sendiri.

Aura ini hanya ada pada penyokong. Oleh yang demikian, kepada penyokong Sarawak yang menetap di sekitar Lembah Klang, ayuh turun ke Stadium Shah Alam berbekalkan sokongan dan harapan. Inilah masanya untuk sama-sama berpadu tenaga dan suara memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain-pemain yang beraksi nanti.

Saat pasukan perlukan sokongan, datanglah penyokong memberi dorongan agar menghasilkan kemenangan bagi menutup kempen liga buat musim ini. Sidak nunggu kitak orang datang, juh kita datang. Kita ngeso aura kita! – SARAWAKCROCS.COM/RSI

RECOMENDED LINKS:


2 COMMENTS

  1. senang jak nk dpat aura yaa..setiap game mesti memerlukan keputusan positif lah,baruk penyokong rami dtg ke stadium.. mun mala kalah,ney org maok nanga… tapi mun bagi aku lah,kalah menang aku tetap pergi stadium juak… harap taun dpn team ngap sayot kembali ke liga super lah..

Comments are closed.