Tiga pasukan kena selesaikan hutang sebelum liga bermula

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiga pasukan di Liga Premier dan Liga Super perlu menyelesaikan hutang tunggakan gaji pemain dan pegawai sebelum 31 Januari 2020.

Tiga pasukan – Melaka United, PDRM FA dan Kelantan FA berdepan hukuman pemotongan mata Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 andai gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Januari 2020.

Menurut kenyataan FAM, mereka telah mengeluarkan surat kepada tiga pasukan berkenaan kelmarin dengan memberikan tempoh masa kira-kira dua minggu bagi melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Namun, jika mana-mana pasukan di atas didapati gagal untuk berbuat demikian pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari 2020, masing-masing akan dikenakan hukuman pemotongan 3 mata secara serta merta.

Bagaimanapun, tiada sebarang hukuman pemotongan mata akan dikenakan jika tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya atau persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain/pegawai berjaya dicapai sebelum atau pada 31 Januari 2020.

Namun andai ia masih juga gagal diselesaikan sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Februari 2020, pasukan berkenaan akan dikenakan pula hukuman tambahan iaitu pemotongan sebanyak 6 mata lagi.

Selepas itu, jika ia tetap tidak dapat diselesaikan pada tarikh akhir ketiga yang ditetapkan iaitu pada 30 Mac 2020, pasukan berkenaan akan dikeluarkan terus secara serta merta dari Liga Super 2020 (jika membabitkan Melaka dan PDRM) dan Liga Premier 2020 (jika membabitkan Kelantan).

FAM dalam pada itu memberi amaran keras kepada ketiga-tiga pasukan agar mereka menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dihadapi.

Suka kami nyatakan di sini bahawa pasukan Sarawak United B (SUB) tidak disebut oleh FAM, sekaligus menggambarkan bahawa isu gaji FAS telahpun selesai.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top