Musim baharu cabaran baharu!

Itu debaran yang semakin kuat dirasai 24 pasukan Liga Super dan Liga Premier yang bakal berentap merebut kejuaraan sebaik saingan Liga Malaysia 2020 dilancarkan secara rasmi oleh Malaysian Football League (MFL) hari ini.

SarawakCrocs Tribal Jersey 2020

Pelancaran Liga Malaysia 2020 yang berlangsung cukup meriah di Hotel Acappella Suite Hotel, Shah Alam itu disempurnakan oleh Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Selain itu, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Exco FAM serta wakil pasukan turut hadir memeriahkan majlis pelancaran itu.

Menurut Dato’ Ab Ghani, beliau berharap Liga Malaysia musim 2020 akan terus mendapat sokongan daripada peminat-peminat dalam usaha mendukung bola sepak tempatan.

Tambahnya, beliau optimis bahawa Liga Malaysia berpotensi untuk terus berkembang menjadi antara liga terbaik di rantau ini.

“Alhamdulillah dengan pelancaran hari ini menandakan persaingan musim baharu bakal bermula. Kami amat berharap Liga Malaysia 2020 akan menjadi lembaran baharu kepada arena bola sepak tanah air.

“Kita dapat lihat kesungguhan semua pasukan dalam memburu kejuaraan kali ini apabila masing-masing giat mempersiapkan pasukan. Jadi kita mengharapkan saingan lebih berkualiti akan disajikan buat peminat tempatan namun dalam masa yang sama semangat kesukanan tinggi tetap diterapkan.

“MFL sebagai badan pentadbir liga pula akan sentiasa berusaha keras untuk mengembangkan potensi liga selaras dengan misi dan visi MFL yang mahu melakukan transformasi dalam bola sepak Malaysia.

“Selain itu MFL juga mahu menyerlahkan potensi pasukan tempatan ke pentas lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Justeru MFL berharap peminat dapat terus memberi sokongan padu kepada pasukan Liga Malaysia kerana sokongan penyokong itu menjadi azimat kejayaan setiap pasukan,” katanya.

Tirai Liga Malaysia 2020 akan dibuka dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 28 Februari ini antara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga pemenang Piala Malaysia 2019 menentang juara Piala FA 2019, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

JDT yang merangkul kejuaraan buat kali keenam berturut-turut Liga Super musim lalu pasti mahu melebarkan penguasaan namun 11 lagi pasukan iaitu Selangor, Kedah, Terengganu FC, Felda United, Perak, Pahang, Melaka, PJ City FC dan tiga pasukan baharu iaitu juara Liga Premier, Sabah, UiTM FC dan PDRM juga ingin melakukan sesuatu.

Bagi Sabah pula, mereka kembali membuat kemunculan di Liga Super sejak kali terakhir bermain dalam kancah saingan elit itu pada tahun 2012 diikuti PDRM.

Manakala UiTM FC mencipta sejarah apabila menjadi kelab universiti pertama bermain di Liga Super selepas menggantikan PKNS FC yang kini dikenali Selangor 2.

Sementara itu empat pasukan Reserve Team, JDT II, Perak II, Selangor 2, Terengganu FC II bakal mewarnai kancah Liga Premier selain Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak United FC, Kuala Lumpur, UKM FC serta dua pendatang baharu dari Liga M3, Kelantan United dan Kuching FA.

Musim lalu juga menyaksikan kehadiran seramai 730,036 penonton bagi Liga Super dan 160,029 bilang penonton bagi Liga Premier secara keseluruhan.

Manakala jumlah kehadiran penonton secara keseluruhan bagi kejohanan Piala FA seramai 224,976 diikuti Challenge Cup (20,944) dan Piala Malaysia sebanyak 467,377 penonton.