Kegagalan Bryan jones menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada perlawanan menentang Negeri Sembilan minggu lepas sedikit sebanyak menjadi bahan bualan di kalangan peminat Kuching City.

Sungguhpun demikian, pihak kejurulatihan Kuching City enggan menyalahkan Bryan berhubung perkara tersebut.

Penolong ketua jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin memberitahu bahawa pihaknya tidak menyalahkan Bryan.

Sebaliknya, mereka merasakan Bryan telah memberikan yang terbaik, dan pasukan harus fokus kepada perlawanan berikutnya.

“Bryan telah memberikan yang terbaik, dan kita tidak mahu menyalahkan sesiapa.” kata Sulaiman selepas perlawanan.

“Kita tak mahu bercerita lagi berkenaan perlawanan ini. Ianya sudah tamat. Kita mahu memandang kepada perlawanan akan datang.” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, penyerang Kuching City, Hudson Dias, hampir pasti akan diturunkan semula dalam perlawanan menentang pasukan muda FAM.

Sulaiman memaklumkan bahawa Hudson sebelum ini telah cedera, namun beliau sudah mula menjalani latihan bersama pasukan Kuching City.

“Hudson cedera dalam perlawanan persahabatan tempoh hari, dan mungkin akan diturunkan pada perlawanan akan datang.” jelas Sulaiman lagi.

Kucching City memerlukan mata penuh dalam perlawanan menentang pasukan muda FAM esok bagi memastikan impian ke Liga Super pada musim ini tidak terkubur terus.