Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan mengakui bukan mudah untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Premier 2021 ketika ini yang masih menjadi milik Negeri Sembilan FC di mana memerlukan kerja keras semua pemain untuk terus berjuang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah.

Meskipun hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Negeri Sembilan untuk berada di tangga kedua liga, beliau menyifatkan setiap perlawanan yang dihadapi bukan mudah dan apa sahaja boleh berlaku untuk menidakkan misi pasukan bagi menghuni kedudukan teratas.

Dengan empat kemenangan dan satu seri yang diraih setakat ini, semestinya Sarawak United ingin terus memburu mata bagi meraih kemenangan ke atas Selangor FC 2 pula dalam aksi keenam Liga Premier malam esok.

Namun, Elavarasan mengingatkan kepada anak buahnya untuk tidak pandang mudah kemampuan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner yang dijangka akan memberi tentangan sengit di mana mereka juga sememangnya enggan lagi terus tersungkur selepas tewas kepada Perak FC II, Jumaat lalu.

“Semestinya kita mengharapkan untuk memintas kedudukan Negeri Sembilan, tetapi kita tahu bukan mudah dan fokus utama sekarang adalah untuk memastikan kita terus dapat mengutip mata dalam setiap perlawanan.

“Macam Selangor FC 2, walaupun pemain-pemain mereka muda, tetapi cabaran juga untuk kita sebab kita tahu bagaimana semangat yang ada dalam diri pemain muda untuk mereka memberi tentangan kepada kita.

“Untuk pemain saya, banyak lagi usaha yang perlu kami lakukan dan saya sentiasa ingatkan kepada mereka bukan senang untuk kita raih kemenangan dalam setiap perlawanan, dan saya boleh jangkakan perlawanan malam esok memang sukar”, jelasnya.