Tidak apa Ramadhan, bertabahlah dan kembali lebih kuat!

Kegagalan Ramadhan Saifullah menyempurnakan sepakan penalti pada final Piala Malaysia 2026 Final antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei lalu menjadi detik paling dibincangkan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Namun, meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu pemain sayap itu adalah sesuatu yang tidak adil, terutama apabila melihat keseluruhan perjalanan perlawanan dan jurang kekuatan kedua-dua pasukan.

Dalam aksi tersebut, Kuching City sebenarnya memberikan tentangan sengit kepada gergasi bola sepak negara itu.

Pada minit ke-60, The Cats memperoleh peluang terbaik untuk mendahului selepas Ramadhan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Namun sepakan yang diambilnya tersasar, sekali gus menyebabkan peluang keemasan itu terlepas.

JDT kemudian mengambil kesempatan dengan menjaringkan gol lewat permainan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa.

Walaupun ramai melihat penalti itu sebagai titik perubahan perlawanan, hakikatnya kekalahan Kuching City tidak boleh disandarkan kepada satu insiden sahaja.

Bola sepak adalah permainan berpasukan dan keputusan akhir ditentukan sepanjang 90 minit, bukannya satu sepakan semata-mata. Kuching City masih mempunyai beberapa peluang lain sepanjang perlawanan tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Selain itu, tekanan di pentas final bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Ramadhan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong serta menentang pasukan paling dominan dalam bola sepak Malaysia ketika ini.

JDT bukan sahaja memiliki pemain berkualiti di setiap posisi, malah pengalaman bermain dalam perlawanan besar jelas memberi kelebihan kepada mereka.

Ramadhan juga tidak seharusnya dilupakan atas sumbangannya sepanjang musim. Perjalanannya membantu Kuching City mara sehingga ke final merupakan satu pencapaian besar buat kelab dari Sarawak itu.

Kuching City bukan pasukan pilihan untuk berada di pentas akhir, namun mereka berjaya mencipta sejarah dan memberi saingan kepada pasukan elit negara.

Dalam bola sepak, pemain yang berani mengambil penalti sebenarnya memikul tanggungjawab besar. Ramai pemain legenda dunia juga pernah gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan penting. Pemain seperti Wayne Rooney, Christiano Ronaldo, dan bintang Manchester City kini, Erling Haaland pun pernah gagal menjaringkan penalti.

Bezanya, mereka bangkit semula selepas kegagalan itu kerana mendapat sokongan daripada rakan sepasukan dan penyokong.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana Kuching City menggunakan pengalaman final ini sebagai motivasi untuk terus berkembang.

Ramadhan tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam kerana kekalahan itu adalah keputusan kolektif sebuah pasukan menentang lawan yang jauh lebih berpengalaman dan mempunyai kedalaman skuad lebih mantap.

Penyokong Kuching City juga perlu melihat pencapaian mara ke final sebagai satu langkah besar dalam perkembangan kelab.

Kekalahan memang menyakitkan, tetapi ia tidak memadam usaha, semangat juang dan kebangkitan pasukan tersebut sepanjang musim.

Ramadhan Saifullah masih merupakan antara pemain penting buat The Cats, dan satu kesilapan tidak seharusnya menentukan keseluruhan nilai dirinya sebagai pemain bola sepak profesional, terutama sekali apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup cemerlang bukan sahaja sepanjang musim ini bersama Kuching City, malahan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia Malam tadi. – SarawakCrocs

Chin up, and come back stronger!

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top