Pihak Kuching City melahirkan rasa syukur mereka kepada pihak Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Perak FC kerana telah bersetuju mengawalkan perlawanan Liga Premier ke-10 bagi Kuching City.

Kuching City telah sebelum ini dijadualkan bermain pada malam ini, namun hasil persetujuan PAFA, perlawanan tersebut telah diawalkan sehari bagi membolehkan pemain dan pegawai Kuching City membuat persediaan untuk balik ke Sarawak.

Ini sekaligus memberi pemain Kuching City masa cukup untuk menjalani kuarantin 14 hari dan merayakan Hari Raya bersama keluarga mereka yang telah ditinggalkan hampir dua bulan.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti, yang mana menyatakan bahawa kini beliau dan pemain beliau akan ‘balik kampung’.

Irfan menjelaskan disebabkan mereka akan balik kampung, pemain dan pegawai Kuching City perlu menjalani kuarantin 14 hari seperti yang disyaratkan oleh Kerajaan Wilayah Sarawak.

Beliau dalam pada itu amat berterima kasih kepada PAFA kerana telah bersetuju untuk melaksanakan perlawanan malam tadi.

“Kami berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Perak kerana bersetuju bermain malam ini, kerana kalau kita main malam esok, balik lewat, tak sempat beraya.” kata Irfan selepas perlawanan.