Kelab bola sepak Kuching City kini dalam kedudukan ke-lima, dan Sarawak United berada di kedudukan kedua, dalam senarai perebutan tempat untuk promosi ke Liga Super 2022.

Kedudukan ini adalah berdasarkan fakta bahawa pasukan simpanan kelab Liga Super seperti JDT II, Selangor 2, Perak II, dan Terengganu II tidak layak untuk promosi.

Turut tidak layak untuk promosi ke Liga Super 2022 adalah Skuad FAM – MSN.

Ini sekaligus menyaksikan hanya enam pasukan bertanding untuk dua slot automatik ke Liga Super.

Di atas kertas, Sarawak United sememangnya hadir dengan reputasi baik dan dijangka akan mencabar untuk promosi ke Liga Super 2022.

Oleh itu, kedudukan pasukan bimbingan E. Elavarasan itu di tangga kedua tidak mengejutkan.

Malah, pasukan Kenyalang Emas ini dilihat boleh naik ke tangga pertama, mengatasi Negeri Sembilan FC, sekiranya berjaya memungut mata penuh dalam dua perlawanan terakhir pada pusingan pertama Liga Premier kelak.

Buat Sarawak United, mereka hanya perlu mengekalkan momentum mereka untuk memastikan mereka akan mendapat promosi ke Liga Super musim hadapan.

Kuching City pula, yang dilihat sebagai ‘dark horses’ atau ‘kuda hitam’ dalam Liga Premier, mempunyai kedudukan yang kurang menarik untuk promosi ke Liga Super ekoran keputusan – keputusan Liga Premier yang kurang menyerlah dalam pusingan pertama.

Kuching City yang sudah melengkapkan semua perlawanan dalam pusingan pertama Liga Premier boleh jatuh ke tangga ke – 10 liga, dan tangga terakhir senarai cabaran promosi sekiranya PDRM FC berjaya menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Premier mereka.

Sungguhpun demikian, hakikat bahawa Kuching City akan memainkan kesemua perlawanan pusingan keduanya di Kuching pada bulan hadapan memberi sedikit ‘aura’ positif kepada peluang Kuching City di dalam Liga Premier.

Ini adalah kerana jika Kuching City berjaya memenangi kebanyakan perlawanan pada pusingan kedua kelak, mereka boleh mendaki semula tangga Liga Premier.

Sungguhpun demikian, peluang Kuching City untuk promosi ke Liga Super dilihat agak sukar jika kedua – dua Sarawak United dan Negeri Sembilan meneruskan aksi cemerlang mereka di dalam liga kerana jarak mata antara kedua – dua pasukan boleh menjangkau 13 mata pada akhir pusingan pertama (jika Sarawak United menang kedua – dua perlawanan terakhir dalam Liga Premier pada akhir pusingan pertama).

Biarpun demikian, bola itu bulat, dan tiada sesiapa tahu apa akan berlaku dalam masa tiga bulan lagi apabila Liga Premeir tamat.

Oleh itu, biarpun peluang Kuching City untuk ke Liga Super 2022 nampak agak malap kini, ianya tidak bermaksud bahawa ianya tidak ada langsung kerana jika nasib menyebelahi pasukan bimbingan Iran Bakti ini, ditambah lagi dengan keputusan baik dari Stadium Negeri Kuching, Kuching City berkemungkinan akan boleh mara ke liga bola sepak tertinggi Malaysia pada musim hadapan.