Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) POsa Majais bahawa FAS mungkin menarik diri dari Liga Malaysia musim depan tidak bermakna FAS akan menarik diri dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Begitulah pemahaman kami apabila mendengar berita tersebut.

Malah, bagi kami, kenyataan tersebut sebenarnya memberitahu secara depan depan apa yang sememangnya akan berlaku pada musim hadapan, yakni semua pasukan bola sepak di Liga Malaysia akan berstatus kelab bola sepak profesional, dan bukan lagi pasukan bola sepak persatuan seperti sebelum ini.

FAS, dalam pada itu, diwakili oleh Sarawak FA pada musim – musim sudah di dalam Liga Malaysia.

Oleh itu, sebenarnya, FAS sememangnya tidak akan bertanding secara langsung di dalam Liga Malaysia tahun 2021 kerana tiada lagi pasukan Sarawak FA pada ketika itu.

Nama Sarawak FA paling akhir akan digunakan musim ini, dengan pasukan Sarawak FA yang kini bermain di Liga M3 bakal dijenama semula sepenuhnya menjadi Sarawak United II pada musim hadapan.

Ini akan sekaligus mengakhiri ‘jenama’ Sarawak FA secara langsung dan menandakan pengakhiran pasukan FAS di dalam Liga Malaysia.

Bagi yang tidak arif, Sarawak FA adalah nama bahasa Inggeris kepada FAS, yakni Sarawak Football Association.

Situasi ini tidak unik kerana semua persatuan bola sepak di Malaysia tidak lagi boleh menghantar pasukan yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah persatuan bola sepak ke Liga Malaysia.

Di sinilah kehadiran Sarawak United kelihatan.

Kelab tersebut dikatakan merupakan milik FAS, namun ianya ditabdir oleh sebuah syarikat dan mempunyai pengurusan berasingan daripada FAS.

Ianya bakal menggantikan tempat Sarawak FA, dan ianya adalah sebuah kelab bola sepak profesional. Dalam erti kata lain, jika Sarawak United gagal, ianya bukan salah FAS, tetapi salah pihak pengurusan Sarawak United.

Oleh itu, hakikatnya adalah, FAS sememangnya perlu menarik diri dari Liga Malaysia pada tahun 2021 kerana tiada lagi pasukan persatuan bola sepak yang dibenarkan bermain di dalam liga bola sepak profesional Malaysia mulai musim hadapan.

Sebaliknya, hanya pasukan yang berstatus profesional sahaja akan bertarung merebut kejohahan Piala Malaysia, Liga Premier dan Liga Super, dan ini dibawa oleh Sarawak United.

Kenyataan Posa yang menyatakan FAS akan menarik diri dari Liga Malaysia dalam pada itu adalah tepat dan pada pengamatan kami tidak salah, kerana bukan Sarawak United yang dikeluarkan dari liga tetapi FAS.

Pandangan bahawa FAS menarik diri dari FAM juga tidak tepat kerana FAM tidak mengemudi Liga Malaysia seperti sebelum ini, dan tugas tersebut kini dilaksanakan Malaysia Football League (MFL), yang seperti Sarawak United, adalah badan berasingan dari FAM.

Oleh itu, tidak perlu hadir kerisauan berkenaan aktiviti bola sepak di Sarawak apabila FAS menarik diri dari Liga Malaysia kelak kerana FAS bukan menarik diri dari FAM, tetapi hanya dari liga tersebut sahaja.

Situasi sesungguhnya adalah berlainan jika FAS dikatakan mahu keluar dari FAM, yang mana akan menyukarkan semua pasukan dan kelab bolasepak yang bernaung di bawah FAS.

Langkah ini juga akan memberi kesan kepada Kuching FA yang merupakan persatuan yang bernaung di bawah FAS.

Walaubagaimanapun, jika FAS bukan sahaja menarik diri, tetapi bertindak menarik keluar kelab bolasepak Sarawak United miliknya dari Liga Malaysia pada musim hadapan, ianya akan secara langsung mengakhiri zaman penglibatan FAS di dalam Liga Malaysia.