Penaja pasukan-pasukan Liga Malaysia akan terkesan sekiranya Liga Malaysia dibenarkan beraksi tanpa kehadiran penonton.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Ahmad Muzzakir Hamid, pihak penaja akan mengalami kesan serius sekiranya liga disambung tanpa kehadiran penyokong.

Beliau dalam pada itu akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menjaga kebajikan semua pihak jika saingan Liga Malaysia (Liga-M) dibatalkan atau diteruskan tanpa kehadiran penyokong musi ini.

“Kami kena berlapang dada dan akur di samping mencari jalan terbaik untuk menjaga kebajikan pegawai, jurulatih, pemain, kakitangan persatuan jika saingan liga dibatalkan musim ini.

“Jika Liga M diteruskan tanpa penyokong, ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada pasukan, tetapi lebih serius lagi penaja pasukan yang bersaing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kerajaan sebelum ini tidak membenarkan sebarang bentuk perhimpunan termasuk perlawanan bola sepak Liga-M yang tertangguh sejak Februari lalu.

Senada dengan keputusan kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menegaskan tiada sebarang perhimpunan dibenarkan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun selepas tempoh PKP selesai bagi memastikan rantaian pendamik COVID-19 putus sepenuhnya.