Berita pelantikan Sulaiman Hussin sebagai pembantu kepada Irfan Bakti mendapat reaksi positif daripada peminat bola sepak Sarawak secara umumnya.

Di media sosial, ramai peminat telah melahirkan kegembiraan bahawa Kuching City FC telah memilih untuk melantik seorang pembantu jurulatih yang boleh mengembangkan potensi pemain muda untuk bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti.

Pihak SarawakCrocs telah berjaya menghubungi Sulaiman, dan beliau sendiri menyatakan bahawa beliau amat teruja dengan peluang untuk berganding dengan Irfan.

Menurut mantan ketua jurulatih UKM FC itu, kehadirannya di Kuching City merupakan satu peluang untuk memajukan karier beliau sebagai seorang jurulatih.

Beliau menjelaskan bahawa kedatangannya ke Kuching City merupakan satu peluang besar dalam perjalananan karier beliau sebagai jurulatih yang sudah mengemudi UKM FC selama 12 tahun.

“Setelah hampir 12 tahun bersama UKM FC, saya rasa peluang untuk memajukan karier saya adalah dengan berhijrah dan untuk datang ke Kuching City adalah satu peluang besar untuk saya dalam perjalanan karier ini” jelas Sulaiman kepada SarawakCrocs.

Sulaiman turut menyatakan bahawa beliau sememangnya tidak berfikir panjang apabila dihubungi Irfan untuk mengisi posisi pembantu beliau.

Beliau menjelaskan bahawa peluang seumpama itu tidak datang dengan mudah, dan beliau mahu belajar sebanyak mungkin ilmu dari jurulatih yang beliau anggap sangat berjaya itu.

“Apabila coach irfan menghulurkan peluang saya tidak berfikir panjang. Saya terus terima.” jelas Sulaiman.

“Peluang tak datang selalu. Dalam keadaan liga kita dipenuhi jurulatih luar negara saya harus mengambil peluang ini.

“Ianya adalah satu rahmat diberi peluang bekerja sebagai pembantu kepada coach Irfan.

“Ianya satu peluang yang tidak akan saya lepaskan dan saya berhajat belajar sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dari beliau untuk membolehkan saya terus berjaya dalam karier ini” ujar Sulaiman lagi kepada SarawakCrocs.

Dalam perkembangan sama, Sulaiman turut menyatakan kesediaanya beliau untuk bekerja keras bagi memastikan bahawa matlamat yang ditetapkan oleh Kuching City untuk musim ini tercapat.

“Saya adalah satu matlamat, yaitu berusaha memenuhi KPI yg ditetapkan oleh Majikan saya Kuching City FC” katanya lagi.