Kelab bolasepak Sarawak United kini boleh tersenyum lebih lebar ekoran kejayaan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menambat semula syarikat Press Metal Sdn Bhd sebagai penaja rasmi pasukan Sarawak United.
Sumber kami mendakwa bahawa penajaan Sarawak United adalah untuk setahun dan nilai tajaan daripada Press Metal tidak dapat diberitahu buat masa ini.
Pengesahan maklumat dari sumber kami diperkuatkan lagi dengan penggunaan ‘hashtag’ PressMetal oleh pihak FAS dan Sarawak United di dalam perkongsian di media sosial mereka.
Press Metal mempunyai pejabat di Shah Alam, Bintulu dan Balingian.
Menurut laman web rasmi Press Metal, syarikat Malaysia ini memulakan operasi sejak 1986, dan kini merupakan pengeluar aluminium terbesar di Asia Tenggara.
Syarikat ini turut bekerjasama dengan syarikat luar di China dan mempunyai operasi di United Kingdom, Australia, Amerika Utara, dan negara Timur Tengah.
Pada musim lepas, Press Metal dilihat sebagai penaja rasmi FAS dan pasukan Sarawak FA apabila logo mereka terpampang jelas pada jersi pasukan Sarawak FA.
Pada musim ini nampaknya Press Metal berjaya ditambat semula oleh FAS sebagai penaja dan ini seterusnya pasti akan membantu dan memastikan pasukan-pasukan yang dibawa oleh FAS berjaya di peringkat tertinggi di dalam pertandingan yang mereka sertai.