SUA belasah JDT II dengan bergaya

Pasukan Sarawak United A (SUA) yang mewakili kelab bola sepak Sarawak United FC berjaya menewaskan pasukan Johor Darul Ta’zim FC II (JDT II) dalam aksi Liga Premier malam ini tadi.

SUA yang buat pertama kali bermain di Stadium Sarawak untuk perlawanan Liga Premier, tidak mengecewakan kira-kira 1,983 peminat yang hadir ke stadium dengan membolosi gol JDT II pada minit ke-25 melalui pemain kelahiran Sarawak sendiri Alif Hassan.

Penyerang sensasi SUA, Patrick Ronaldinho kemudian menambah derita pelawat dengan satu jaringan cantik pada minit ke 35 sebelum pemain pertahanan terbaharu SUA, Damerson Bruno menjaringkan gol ketiga SUA dengan gol pada minit-minit terakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT II cuba merapatkan jurang gol namun beberapa percubaan merbahaya mereka berjaya diselamatkan oleh penjaga gol SUA, Saiful Wazizi.

Serangan JDT II akhirnya berjaya menembusi gol SUA apabila Che Rashid bijak menggunakan ruang yang ada untuk menjaringkan gol pertama pasukan pelawat.

Walaupun masih selesa, SUA terus enggan mengalah dan Ronaldinho berjaya menjaringkan gol ke-empat untuk SUA pada minit ke-78.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun keputusan memihak SUA kekal sehingga tamat masa penuh.

Keputusan penuh; Sarawak United A 4 – 1 JDT FC II

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top