Status pemain Kuching FA dipertikai

Status pemain bola sepak Kuching FA yang terkena Covid-19 kini dipertikaikan.

Pertikaian itu dibuat oleh Jurulatih Selangor FA, B Sathiananthan, yang mana dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian sebagai mempersoalkan bagaimana seorang pemain Kuching FA boleh terkena jangkitan dan positif COVID-19.

Menurut laporan akhbar tersebut, Santhiananthan mempersoalkan bagaimana seorang pemain sepenuh masa boleh dibenarkan mempunyai pekerjaan lain.

Ini susulan kenyataan Kuching FA yang mana menyebut bahawa pemain yang disahkan menghidapi wabak itu mendapatnya dari kluster Hospital Sentosa.

“Saya tidak pasti sama ada betul atau tidak dia bekerja di hospital tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

“Daripada apa yang saya baca di media, memang dia bekerja di situ. Itulah persoalan sekarang. Kalau dia benar-benar seorang pemain profesional, dia tak sepatutnya bekerja di tempat lain, lebih-lebih lagi di tempat berisiko tinggi.

“Saya kurang faham dengan apa yang berlaku dalam Kuching FA. Jika dulu saya mengendalikan pasukan ATM dan memang ada anggota mereka yang bermain dalam pasukan dan mendapat kelulusan FAM.

“Sama juga macam PDRM. Atas sebab pemain itu anggota PDRM yang membolehkan mereka bermain dalam pasukan tersebut. Tetapi Kuching FA ini macam mana pula? Ada industri hospitalkah?” soalnya.

Jumaat lalu, Kuching FA mengesahkan seorang daripada pemainnya telah dijangkiti wabak Covid-19 dan telah memutuskan untuk menghentikan semua aktiviti dan sesi latihan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top