Pasukan Liga Premier Kuching FA sebentar tadi mengesahkan bahawa salah seorang pemain pasukan tersebut telah dijangkiti oleh Covid-19.

Dalam kenyataan ringkas di media sosialnya, pasukan tersebut mengesahkan bahawa pemain yang dijangkiti mempunyai kaitan dengan Kluster Sentosa yang merupakan salah satu kluster Covid-19 di Sarawak.

“Untuk makluman semua, seorang dari pemain kami disahkan positif covid19. Beliau bertugas di Hospital Sentosa dan diklasifikasikan dari cluster hospital sentosa.” kata kenyataan ringkas Kuching FA.

“Pihak kami sentiasa menekankan kepada kepatuhan dengan setiap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan MFL dalam aktiviti latihan harian kami.”

Dalam pada itu, Kuching FA serta merta mengumumkan semua aktiviti latihan dan berharap peminat mendoakan keseihatan semua pemain dan pegawai pasukan tersebut agar dijauhi dari Covid-19 dan sembuh jika sudah dijangkiti.

“Oleh itu, Kesemua aktiviti latihan kami diberhentikan sementara waktu dan mengikuti panduan dan arahan dari pihak berkuasa demi keselamatan pemain-pemain dan masyarakat.

“Sama-sama kita doakan agar kesemua pemain dan staf kejurulatihan dijauhkan dari pandemik ini dan semoga pemain tersebut cepat sembuh.” tambah Kuching FA di dalam kenyataannya.

Kenyataan berkenaan kes Covid-19 pemain pasukan Kuching FA telah dikeluarkan oleh pasukan tersebut lebih awal petang tadi, namun ianya telah dipadamkan tanpa sebarang penerangan.

Pihak SarawakCrocs mengharapkan semua pemain dan pegawai pasukan Kuching FA akan dijauhi dari dijangkiti Covid-19, manakala pemain tunggal yang dijangkiti akan sembuh dengan segera sebelum sepak semula Liga Premier pada 28 Ogos kelak.