LIHAT PROMOSI TERKINI SHOPEE

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

Pasukan bola sepak SMK Sri Matang membuktikan mereka merupakan kuasa baharu bola sepak bagi umur 16 tahun dan kebawah Daerah Padawan selepas menjuarai Pertandingan Bola Sepak 16TKB Liga Tunas Malaysia Daerah Padawan 2022 petang tadi.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan dan juga pasukan tuan rumah pertandingan ini, SMK Sri Matang jelas mempergunakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menundukkan seteru setempatnya, SMK Matang Jaya dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung pada jam 3 petang di Padang bola sepak SMK Sri Matang.

Sungguhpun demikian, pasukan SMK Matang Jaya jelas bukan lawan mudah apabila memaksa perlawanan dipanjangkan sehingga masa tambahan selepas aksi sengit pada masa penuh menyaksikan kedua – dua pasukan buntu dalam usaha mencari gol.

Pada masa tambahan, kedua – dua pasukan terus mengasak satu sama lain dengan SMK Sri Matang akhirnya meleraikan kebuntuan gol perlawanan melalui satu sepakan penalti pada minit – minit terakhir babak kedua masa tambahan.

SMK Matang Jaya yang kini ketinggalan telah cuba untuk mencari gol penyamaan dengan menggandakan asakan ke kubu lawan, namun keutuhan benteng SMK Sri Matang menyebabkan mereka terus kempunan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil sekaligus menyaksikan SMK Sri Matang dinobatkan selaku juara Liga Tunas Malaysia Daerah Padawan 2022, dengan SMK Matang Jaya terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Sebagai pemenang, SMK Sri Matang membawa pulang RM1,000 beserta pingat, manakala SMK Matang Jaya membawa balik RM700 beserta pingat.

Sumber gambar: Elvis Mike