Penukaran sistem Piala Malaysia kepada sistem kalah mati untuk tahun ini dilihat memberi kelebihan kepada pasukan Kuching FA yang bakal berdepan pasukan – pasukan lebih hebat kelak.
Kuching yang merupakan pendatang baharu di dalam pertandingan berprestij tersebut, layak selaku pasukan ketiga terbaik di Liga Premier.
Dengan format Piala Malaysia dipendekkan kepada sistem kalah mati, pasukan Kuching dilihat mempunyai peluang seimbang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Ini memandangkan hakikat bahawa Kuching hanya perlu memenangi satu perlawanan pada setiap peringkat untuk melayakkan diri ke peringkat berikutnya.
Dalam pada itu, peminat merasakan bahawa Kuching boleh memanipulasi cara mereka bermain mengikut lawan mereka yang sedia ada, tanpa perlu risau akan perlawanan – perlawanan akan datang.
Dengan Kuching kini pasti berdepan JDT FC di pusingan pertama Piala Malaysia kelak, ada peminat merasakan Kuching mampu membawa perlawanan tersebut sehingga ke sepakan penalti dan akhirnya memasuki peringkat seterusnya melalui sepakan penalti.
Biarpun demikian, tidak kurang juga peminat yang merasakan bahawa Kuching boleh mencari gol awal, dan kemudian terus bertahan bagi memastikan halangan JDT disingkirkan.
Apapun cadangan peminat, rata – rata peminat sememangnya mengakui bahawa JDT bukan lawan mudah, tetapi sistem kalah mati memberi kelebihan kepada pasukan kerdil seperti Kuching.
Oleh yang demikian, perlawanan JDT menentang Kuching kelak sememangnya pasti menjadi tumpuan kerana ramai yang mahu tahu jika Kuching mampu meneruskan ‘mimpi indah’ mereka di Liga Malaysia musim ini, ianya adalah satu bonus yang amat tidak disangka.