Kelab Bolasepak Sibuti Bavarian (SBFC) akan menghantar Ketua Jurulatihnya, Mohd Hakimi Bin Man ke Thailand untuk lawatan penanda arasan.

Mengikut maklumat yang diterima, Hakimi akan menyaksikan Piala Bola Sepak Antarabangsa Phuket (Phuket International Football Cup) yang akan berlangsung dari 28 November hingga 1 Disember.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Piala Bola Sepak Antarabangsa Phuket akan disertai pasukan-pasukan bawah-15 tahun dari  Jepun, Korea, Vietnam dan Thailand.

Selepas pertandingan, Hakimi akan pergi berguru bersama satu pasukan kelab bola sepak di Phuket, yang kini dikenali sebagai Phuket City selepas penggabungannya dengan kelab tersebut untuk mempelajari dan melihat sendiri program pembangunan bola sepak akar umbi kelab tersebut, dengan harapan ianya mungkin boleh diterapkan di dalam program SBFC.

Hakimi ketika dihubungi berkata lawatan tersebut penting bagi membolehkan beliau tidak ketinggalan dari segi latihan kejurulatihan bola sepak akar umbi, khususnya apabila berkenaan teknik latihan Rondo.

Beliau menyatakan beliau masih belum arif berkenaan teknik itu dan akan mempelajari teknik latihan Rondo secara lebih mendalam.  Teknik latihan Rondo menekankan permainan menggunakan corak permainan teknikal dan amat menitik beratkan posisi seorang pemain.

Kata Hakimi, “Kini bola sepak banyak ke arah latihan Rondo dan kebanyakan jurulatih bola sepak belum terlalu arif berkenaan teknik latihan baharu ini.

“Jadi saya perlu menyaksikan bagaimana latihan Rondo dilaksanakan secara sendiri agar dapat menaik taraf pengetahuan saya, khususnya di peringkat antarabangsa.

“Sebagai jurulatih bola sepak, saya mahu menghasilkan pemain yang bukan sahaja berkebolehan di peringkat negeri, tetapi di peringkat national.”

Hakimi merupakan jurulatih bola sepak yang tidak asing lagi di Sarawak dengan pasukan bimbingan beliau, Sibuti Bavarian, berjaya menghasilkan ramai pemain yang telah kini bermain di pelbagai peringkat bola sepak Malaysia.