Selangor FC II dijangka tumbang malam ini

Pasukan simpanan Selangor FC, Selangor II, dijangka tidak akan mampu menandingi pasukan Sarawak United A (SUA) apabila kedua – dua pasukan bertemu di Stadium KLFA malam ini, jika penilaian prestasi semasa dan perkiraan rekod di atas kertas diambil kira.

Hakikat ini disokong oleh prestasi pasukan SUA yang dilihat semakin meningkat di bawah kendalian jurulatih berpengalaman E. Elavarasan, dan prestasi Selangor II yang kini tanpa sebarang kemenangan.

Kemenangan menarik SUA ke atas pasukan simpanan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) hujung minggu tadi jelas menampakkan kebolehan pasukan yang dijenama semula dari Selangor United FC, dengan pasukan SUA memaparkan aksi permainan yang menarik dengan skill individu tinggi ditunjukkan oleh pemain – pemain yang mewakilinya.

Malahan, perubahan taktikal yang dilakukan Elavarasan sepanjang perlawanan juga dilihat menarik oleh kebanyakan peminat yang hadir ke perlawanan tersebut.

Rata – rata peminat yang hadir mengakui bahawa SUA layak menang ke atas JDT II dan kemenangan itu bukan ‘nasib’.

Bukan setakat itu, pasukan SUA juga dilihat mempunyai senarai pemain yang lebih ampuh jika dibandingkan dengan senarai pasukan Selangor II.  Nama – nama seperti Ashri Chuchu, Amri Yahyah, Fauzi Rosli, S Chanturu, Patrick Ronaldinho dan ramai lagi adalah nama-nama besar yang pernah bermain di Liga Super Malaysia.

Ini sekaligus membayangkan batapa SUA memiliki kualiti untuk mengatasi pasukan Selangor II.

Dalam perkembangan sama, Selangor II buat masa ini dilihat mempunyai masalah di bahagian serangan dengan pasukan simpanan Selangor FC itu hanya berupaya menjaringkan satu gol setakat ini.

Selangor II yang kalah kepada pasukan Terengganu II pada aksi pertama Liga Premier mereka musim ini, juga teruk dibelasah 4-1 oleh pasukan Pulau Pinang FA pada perlawanan kedua mereka.

Oleh itu, perlawanan Selangor II dan SUA kelak akan menjadi satu kayu pengukur kepada kemampuan sebenar kedua-dua pasukan kerana Selangor II sudah pasti tidak mahu terus menghuni tangga terbawah Liga Premier, dan SUA pula mahu membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang perlu diberi perhatian musim ini.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top