Sekatan perpindahan pemain bagi pasukan Sarawak FA kekal selepas penganjur liga Malaysia, Malaysia Football League masih tidak berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang perlu diserahkan oleh pasukan Sarawak.
Denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 bermula hari ini sehingga 29 Mei depan terhadap Sarawak.
Menurut MFL, keputusan ini dibuat selepas MFL menerima rayuan daripada tujuh pasukan yang telah didenda berikutan kegagalan mendaftarkan pemain pada tempoh ditetapkan sebelum ini.
Dalam kenyataan rasmi, MFL menyatakan bahawa Sarawak adalah antara pasukan yang masih belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Denda pemotongan geran ke atas Sarawak walaubagaimanapun dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019.
Biarpun pemotongan geran telah dikurangkan peratusnya, Sarawak masih mungkin didenda pemotongan sebanyak tiga mata sekiranya dokumen-dokumen tertentu masih tidak diserahkan sebelum atau pada 22 Mei depan.
Turut mengalami nasib sama adalah Kelantan.
Sebelum ini, lima pasukan telah di denda potongan geran dan sekatan perpindahan pemain oleh MFL ekoran kegagalan pasukan tersebut mendaftarkan pemain pada tarikh akhir yang ditetapkan.
Pasukan berkenaan adalah wakil dari Liga Super iaitu Kuala Lumpur, Felda United FC dan Melaka manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang yang beraksi dalam saingan Liga Premier.
Denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United FC, PDRM dan Pulau Pinang dikurangkan sebanyak 5 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 manakala Melaka, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus.
Keputusan pengurangan 5 peratus untuk Kuala Lumpur, Felda United FC, PDRM dan Pulau Pinang dibuat selepas pasukan-pasukan terbabit menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci pada musim 2019 manakala pasukan yang didenda pengurangan geran sebanyak 10 peratus gagal menghantar dokumen tersebut.
Pasukan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan PDRM juga tidak dikenakan denda sekatan perpindahan dan tidak akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mereka berjaya mengemukakan dokumen yang menunjukkan kestabilan kewangan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019, bukti serta dokumen jumlah tunggakan hutang yang telah diselesaikan.