PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menarik nafas lega selepas Malaysian Football League (MFL) menerima rayuan mereka dengan meringankan hukuman pemotongan geran musim ini kepada 10 peratus.

Terdahulu, Sarawak bersama Kuala Lumpur, Felda United, Melaka, Kelantan, PDRM dan Pulau Pinang telah dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018 dan diberikan tempoh kemukakan rayuan tujuh hari sehingga Selasa lalu.

SarawakCrocs Fantasy Premier League 2019/20

Semalam, MFL mengumumkan denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United, Pulau Pinang dan PDRM dikurangkan menjadi 5 peratus daripada jumlah geran manakala Sarawak, Melaka dan Kelantan dikurangkan kepada 10 peratus.

Bagaimanapun, MFL turut menjelaskan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 yang membuka tirai semalam sehingga 29 Mei depan ke atas Kelantan dan Sarawak dikekalkan.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung FAS, Jefry Lana melahirkan penghargaan MFL di atas keprihatinan badan pengendali Liga Malaysia itu sejurus menerima rayuan daripada pihak mereka.

Namun, bekas pemain pertahanan Sarawak yang mengambil tugas Setiausaha Agung FAS dari Razali Dolhan pada Mei tahun lalu, mendedahkan pihaknya telah bersedia untuk memohon pertimbangan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menukar dua pemain import selepas menyaksikan mereka dikenakan sekatan perpindahan pemain.

“Pertama FAS mahu mengucapkan terima kasih dan melahirkan penghargaan kepada MFL di atas keprihatinan mereka menerima rayuan kami di mana jumlah (pemotongan jumlah geran) itu dikurangkan sehingga 10 peratus sahaja.

“Kami mengakui ada berlaku kesalahan (kelewatan pendaftaran pasukan) tetapi ia bukan perkara yang disengajakan di mana FAS sentiasa memandang serius dalam isu ini.

“Bagaimanapun, FAS akan memohon pertimbangan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk mempertimbangkan hasrat kami untuk menukar pemain import pada jendela perpindahan pemain pada bulan ini selepas kami dikenakan hukuman sekatan perpindahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa turut senada dengan Jefry.

Malah Nokman memuji MFL yang dianggap prihatin dengan permasalahan majoriti pasukan di Liga Malaysia sambil menerima sepenuhnya hukuman dikenakan kepada KLFA.

“Terima kasih MFL, keputusan rayuan ini cukup menggembirakan Kuala Lumpur dan saya anggap paling terbaik pernah dilakukan MFL kerana mengambil berat masalah dihadapi kebanyakan pasukan musim ini.

“Paling saya rasa lega bila mengetahui kami tidak dikenakan sekatan perpindahan pemain memandangkan Kuala Lumpur mahu menukar dua pemain import Slyvano Comvalius dan kemungkinan besar Ryotaru Karube.

“Jadi, apabila kami mendapat tahu keputusan ini, sudah tentu memudahkan perancangan dalam merombak pasukan terutama dalam usaha terus bersaing dalam Liga Super.

“Dalam soal pengurangan geran, saya ucapkan terima kasih kerana hanya 5 peratus sahaja pemotongan dikenakan, satu jumlah cukup jauh lebih rendah berbanding musim lalu iaitu sebanyak 50 peratus, “ katanya.

Sementara itu, Pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar, memuji sikap bertimbangrasa dipamer MFL selain memuji pendekatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam.

Baginya, beliau cukup teruja apabila ketahui hanya dikenakan pemotongan 5 peratus daripada jumlah geran tahunan, satu angka yang begitu minima daripada jumlah asal hukuman.

“Saya memang tidak sangka sebaik keputusan ini diumumkan dan terima kasih kepada MFL kerana beri pertimbangan sewajarnya kepada PDRM serta pasukan-pasukan lain.

“Kami juga begitu gembira kerana tidak dikenakan sekatan perpindahan pemain ketika kami sudah ada perancangan lakukan rombakan pasukan bagi memantapkan perjuangan pasukan di Liga Premier, ” katanya.