Mungkin ramai yang tidak mengenali Fadzley Rahim, bekas penjaga gol Pos Malaysia FC yang kini sudah pun menandatangani kontrak bersama skuad Sarawak bagi musim hadapan.

Penjaga gol muda yang tinggi lampai ini dijangka memberi cabaran kepada penjaga gol nombor satu Sarawak, Sani Anuar yang tampak selesa di kedudukannya sebagai penjaga gol utama Sarawak.

SarawakCrocs.com sempat menebual Fadzley semasa beliau ke Kuching pada awal bulan lalu, dan kini kami boleh menerbitkan hasil temubual tersebut, bersama soalan-soalan baru kerana beliau sudah sah bersama Sarawak bagi tahun 2014.

Menurut Fadley, rezeki untuk beliau beraksi di dalam kesebelasan utama dengan kehadiran Sani sememangnya tidak diketahui semasa beliau menerima kontrak untuk bersama Sarawak. Sungguhpun demikian, kerana Sarawak merupakan antara pasukan terbaik di Malaysia, beliau masih ingin bersama Sarawak dan akan memberikan yang terbaik semasa latihan.

Beliau turut menyebut bahawa pengalaman yang dimiliki Sani adalah amat berguna bagi dirinya, sekaligus harapan beliau untuk mempelajari lebih banyak semasa bersama Sarawak.

Apabila ditanya pula berkenaan pandangan beliau terhadap penyokong Sarawak, Fadley cepat menyatakan bahawa “Penyokong Sarawak adalah penyokong yang sangat setia dan memberi sokongan sepenuhnya.” Beliau menambah “Stadium Negeri sentiasa penuh, dan ini sememangnya mmbuatkan pemain seperti saya lagi bersemangat untuk bermain. Situasi seperti ini jarang kita dapat rasai di Malaysia“.

Penjaga gol yang memilih Khairul Azman sebagai pemain idolanya turut menyatakan harapan menggunung untuk Sarawak bagi musim 2014. Menurut beliau, Sarawak seharusnya menjadi juara bagi semua piala yang dipertandingkan di Malaysia, atau paling tidak, muncul sebagai antara pasukan elit dan digeruni bagi tahun 2014.

Di akhir temubual, Fadley memaklumkan kepada kami bahawa beliau menaruh harapan “penyokong Sarawak akan meneruskan sokongan yang terbaik seperti yang sudah dibuat pada musim 2013.” Tambah beliau, “Saya memang ‘salute’ dengan penyokong Sarawak dan saya berharap anda semua dapat menerima saya di dalam pasukan Bujang Senang. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik sepanjang bersama skuad Bujang Senang“.

Kepada Fadzley Rahim, Welcome to Stadium Negeri!

-Gambar ehsan FB Fadzley Rahim

2 COMMENTS

Comments are closed.