Sarawak United FC akhirnya berjaya mendapatkan lesen kelab bola sepak kebangsaan.

Sungguhpun demikian, kelab tersebut telah terpaksa membuat Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) yang mana menyaksikan kelab tersebut mengistiharkan berkenaan sebarang tunggakan kewangan yang sedia ada.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berdasarkan SD yang telah diserahkan pada 15 Disember 2020, pasukan Sarawak United telah mengisytiharkan tunggakan pemain dan pegawai.

Kelab tersebut juga melampirkan persetujuan bersama pegawai dan pemain serta pelan bayaran ansuran bagi tunggakan tersebut.

Dalam pada itu, SD tersebut menyatakan bahawa Sarawak United FC akan memulakan bayaran ansurannya mulai Februari 2021 kepada pegawai dan pemain terbabit.

Pelan pembayaran ansuran tersebut akan dipantau sendiri oleh FAM dari semasa ke semasa.

FAM dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa sekiranya Sarawak United gagal untuk membuat pembayaran untuk tunggakan yang diisytiharkan dalam SD itu mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui bersama, sanksi terhadap pasukan tersebut boleh diambil.

FAM dalam kenyataan sama tidak menjelaskan sanksi yang akan dibuat sekiranya bayaran tunggakkan tidak dijelaskan.

Satu lagi pasukan dari Sarawak, Kuching City FC, berjaya mendapatkan lesen kelab bola sepak kebangsaan tanpa sebarang syarat atau SD dikenakan.